Pagi ini aku ada menonton
rancangan “Tanyalah Ustaz” bertajuk Memburu Keberkata Ilmu. Bila bercakap
tentang adab dengan guru dan keberkatan ilmu, aku teringat tentang kisahku
dengan seorang guruku, suatu ketika dahulu.
Waktu itu aku baru sahaja
memasuki tingkatan 3 dan bakal menduduki PMR. Sebelum guru masuk ke kelas, aku
sempat menyelidik terlebih dahulu dengan senior-senior tentang
karakter-karakter guru yang bakal mengajarku. Antaranya ialah guru subjek
Matematik.
Aku masih ingat nama guru
tersebut, tapi tak perlulah aku sebutkan. Orangnya rendah sahaja tetapi dan memiliki misai serta janggut yang tebal, membuatkannya nampak garang. Kata
seniorku, beliau seorang yang sangat tegas. Pertama kali memasuki kelasku, guru
itu dengan tegasnya menyatakan bahawa beliau tidak akan bertoleransi dengan sikap
nakal pelajarnya.
Mendengar kata-katanya yang
kurasa tidak bertimbang rasa memandangkan kami belum pun kenal akan satu sama
lain, dan mimik mukanya yang langsung tidak mesra membuatkan aku merasa bahawa
apa yang mindaku fikirkan(bahawa dia seorang yang garang, kurang mesra dan
tidak boleh dibawa berbincang) benar belaka. Jadi perasaan benciku terhadapnya
makin bertambah.
Justeru, sejak hari itu, setiap
kali beliau memasuki kelasku, aku akan abaikan apa sahaja yang diajarnya. Sikap
guru itu sebenarnya tak sama seperti yang kufikirkan. Setiap kali beliau
mengajar, beliau akan menyelitkan lawak jenaka dan selalu mengajar dengan
teknik yang menarik. Namun dek kerana perasaan benci yang tertanam, aku tidak
pernah ketawa walaupun satu kelas sudah gelak
sakan kerana lawaknya. Bukan kerana tidak lucu, tapi kerana aku sengaja
mahu menunjukkan kebencianku kepadanya.
Akibatnya, aku mendapat gred E
dalam subjek Matematik sedangkan subjek itu adalah subjek yang paling kusukai
sebelum ini. Aku pasti perkara tersebut berlaku kerana tiada keberkatan dalam
ilmu kerana aku langsung tidak beradab dengan guruku itu. Guru tersebut
menyedari perasaan benciku padanya lantas memanggilku secara bersemuka di dalam
bilik guru selepas ujian tersebut.
Pada awalnya, beliau dengan
lembut bertanya kenapa aku begitu benci kepadanya, sedangkan beliau tidak
pernah mengherdik apatah lagi memukulku malah cuba memberi ilmu sebanyak
mungkin kepada kami. Beliau turut memohon kemaafan jika pernah terkasar bahasa
atau perbuatan yang membuatkan aku merasa marah dan sakit hati padanya.
Waktu itu, aku mula muhasabah
diri. Setiap kata-katanya menyentuh hatiku membuatkan aku menangis saat itu.
Aku teringat kembali akan setiap perbuatan burukku padanya. Jika diikutkan, dia
sebenarnya langsung tidak bersalah, cuma kerana persepsiku yang salah
menyebabkan dia kulihat sebagai orang jahat. Justeru aku menceritakan perkara
sebenar dan meminta maaf darinya.
Sejak hari itu, persepsiku
terhadapnya berubah. Aku mendengar setiap butir-butir ayatnya dan cuba sedaya
upaya untuk belajar dengan hati yang gembira. Ujian PMR pula sudah semakin
dekat, jadi jika ada perkara yang tidak difahami, aku akan menemuinya dan
bertanya. Waktu itu pembelajaran Matematik menjadi makin menyeronokkan dan ilmu
yang kudapati bertambah sehingga akhirnya aku berjaya memperolehi A dalam
subjek Matematik sewaktu PMR.
Hingga kini aku masih berterima
kasih terhadap guru tersebut kerana usaha kerasnya dalam mendidik dan memahami sikap
pelajar-pelajar sepertiku demi memastikan kejayaan kami.
Wahai guru, terima kasih kerana
kalian sentiasa berusaha sekuat mungkin untuk memberi aku ilmu meskipun ada
kalanya aku terlalu nakal dan naif memahami niat baikmu. Terima kasih juga
kerana tidak pernah berputus asa meskipun dikau rasa terluka. Maaf jika kalian
pernah rasa kecewa dan kecil hati. Aku sebagai pelajarmu sentiasa berdoa agar
dikau sentiasa dirahmati oleh-Nya.
Comments
Post a Comment