Nostalgia kad raya yang dilupakan


Kenangan kad raya

Nostalgia kad raya sememangnya antara kisah yang akan diingati setiap orang setiap kali menjelang hari raya. Suatu ketika dahulu, menghantar kad raya menjelang Aidilfitri ibarat satu kemestian kepada setiap orang. Ramai yang akan berlumba-lumba menghantar kad-kad raya yang pelbagai bentuk dan saiz kepada keluarga, teman-teman dan taulan sebagai tanda ingatan. Lebih banyak kad raya yang dihantar, lebih banyaklah yang bakal diterima kembali.

Ada yang sanggup menunggu di depan pintu, menanti kad raya daripada sahabat handai atau orang tersayang sebagai pengubat rindu. Ada pula yang menitipkan duit-duit syiling atau duit RM1 yang ditampal dalam kad raya, kononnya sebagai duit raya. Saat itu, manusia yang paling penting ialah pakcik posmen yang terlalu sibuk menghantar kad-kad raya yang berguni banyaknya. Kad-kad pelbagai jenis dan saiz yang diterima akan digantung di dinding sebagai hiasan pada hari raya. Adakalanya, jumlah dan bentuk kad raya yang diterima turut melambangkan populariti seseorang.

Penulis sempat berniaga kad raya ketika zaman persekolahan. Setiap kali ramadhan bermula, penulis akan membelikan bungkusan kad raya mengandungi 5 atau 6 keping kad raya bersama sampul. Setiap keping kad dijual dengan harga 30 sen hingga 70 sen kepada kawan-kawan sekelas atau rakan-rakan lain. Untung yang diperolehi akan digunakan untuk pusingan modal membeli lebih banyak kad raya untuk dijual kembali. Ketika itu, jualan kad raya sememangnya satu perniagaan yang sangat menguntungkan memandangkan penggunaannya yang sangat meluas.

Kad raya, masihkah ia relevan bagi anda?

Bagaimanapun, masa merubah segala-galanya. Teknologi yang datang memungkinkan kita memberikan ucapan atau kata-kata melalui cara yang lebih mudah serta menjimatkan masa dan wang. Kehadiran khidmat pesanan ringkas (sms, mms), media sosial dan e-card menyebabkan kad raya tradisional makin terpinggir. Anak-anak muda yang lahir pada era Y2K, tidak sempat merasai kemanisan kenangan kad raya memandangkan mereka telah terdedah dengan cara moden.

Kelibat kad-kad raya yang dijual juga semakin sukar ditemui, berbanding beberapa tahun lepas. Ia seolah-olah satu petanda bahawa kad raya tidak lagi menjadi pilihan utama untuk menyampaikan salam.

Rata-rata berpendapat bahawa peranan kad raya sebagai penyampai salam kini sudah tidak relevan lagi. Menurut kebanyakan peniaga, jualan kad raya kini semakin tidak memberangsangkan walaupun Aidilfitri menjelang tiba.

Pemilik Kedai buku Minerva Sdn. Bhd,Kamal, 70, berkata, rata-rata pelanggan tidak lagi berminat untuk membeli kad raya.

“Kebanyakan orang sekarang kurang berminat untuk membeli kad raya. Mereka lebih suka menggunakan sms, faebook atau twitter untuk menghantar ucapan raya.

Jika dulu, kita boleh jual sehingga 4000 keping kad raya dalam masa sebulan, tahun ini, nak jual 1000 keping pun susah,”ujar beliau.

Beliau turut meramalkan bahawa kad raya mungkin bakal pupus dalam masa dua tahun akan datang.

Fatimah Abdullah, 43, yang bekerja di sebuah kedai buku sekitar bandar Kuala Lumpur berkata, kebanyakan kad raya yang ada dibeli oleh jabatan-jabatan kerajaan atau swasta untuk kegunaan syarikat.

“Kebanyakan yang beli kad kita adalah jabatan-jabatan kerajaan atau swasta untuk diedarkan kepada pekerja-pekerja pejabat. Kalau nak harapkan orang persendirian, susah kad raya ni nak dijual,”ujar beliau.

Menurut beliau, kejatuhan kad raya bermula tahun lepas, sejak facebook dan twitter diperkenalkan di seluruh dunia.

“Dua tahun lepas, jualan kad raya sangat menyeronokkan kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai. Waktu itu, macam-macam bentuk kad raya dijual. Ada yang boleh ditampal di dinding seperti poster, ada yang berbentuk seperti masjid dan macam-macam lagi.

“Sekarang, kad-kad raya dengan rekaan yang kreatif dah tak banyak. Mungkin kerana sambutan jualan yang kurang memberangsangkan. Orang sekarang lebih suka gunakan internet untuk hantarkan pesanan.”

Beliau berkata, kehadiran teknologi baru banyak mempengaruh jualan kad raya.

“Kad ucapan Selamat Hari Raya yang dijual di kedai ini langsung tidak mendapat sambutan. Orang ramai sudah tidak minat lagi beli kad raya sebab mereka boleh hantar ucapan melalui SMS, Facebook dan sebagainya.

“Dulu menjelang perayaan, memang seronok menjual kad raya sebab orang ramai berpusu-pusu membeli kad raya untuk dihantar kepada rakan-rakan, tetapi sekarang semuanya sudah berubah.”ujar beliau.


Comments