Merdekakan minda dan budaya-Wardina Safiyyah


Setiap tahun Dataran Merdeka akan dipenuhi anak-anak muda dan orang ramai yang begitu bersemangat melaungkan perkataan merdeka. Saban tahun juga sambutan meriah akan diadakan bagi menghargai hari kebebasan negara selepas beratus-ratus tahun dijajah. 

Seolah-olah satu kemestian, perhimpunan tersebut menjadi tempat anak-anak muda mengekspresikan kebebasan mereka dengan cara tertentu.

Meskipun begitu, kebebasan yang diberi adakalanya disalahgunakan. Erti kemerdekaan yang diperjuangkan oleh perajurit negara makin hilang maknanya, tenggelam dek sikap mereka-mereka yang menyalahgunakan kebebasan dan kemerdekaan yang ada. 

Justeru, kita selalu terbaca tentang  masalah salahlaku yang semakin berleluasa, kerana kurangnya kefahaman masyarakat kini tentang erti sebenar kemerdekaan.

Bagi pengacara wanita popular, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 33,  rakyat Malaysia mungkin telah merdeka daripada penjajahan fizikal sejak 55 tahun lepas, namun tanpa sedar masih terbelenggu dengan penjajahan minda sehingga kini.

“Saya merasakan, adalah perlu bagi kita untuk memahami erti sebenar kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Kemerdekaan sebenar bererti kita bebas daripada penjajahan fizikal dan mental.

“Kita mungkin sudah bebas daripada penjajahan fizikal namun persoalannya kini, adakah kita telah bebas sepenuhnya daripada penjajahan mental,” katanya ketika dihubungi TMT.

Menurut beliau, sambutan kemerdekaan diadakan setiap tahun, namun tidak ramai yang memahami maksud merdeka yang mereka laung-laungkan.

“Setiap tahun kita jeritkan perkataan merdeka, tapi adakah kita meraikan kemerdekaan untuk satu hari sahaja? Adakah perlu bagi kita menyambut kemerdekaan sahaja tanpa memahami maksud sebenar disebalik perkataan itu?

“Kita seharusnya menilaikan sebenar erti kemerdekaan kerana kalau kita meraikan ia tanpa memahami rohnya, sambutan tersebut sebenarnya sia-sia sahaja,”ujar beliau.

Menurut beliau, kebanyakan rakyat malaysia sebenarnya masih terjajah dari beberapa segi, namun tidak ramai yang menyedarinya.

“Tanpa kita sedari, kita sebenarnya belum merdeka sepenuhnya, kerana penjajahan dari segi pemikiran, dan budaya masih lagi berleluasa.

“Contohnya, kenapa budaya kita perlu meniru budaya barat dan mengagungkan mereka seolah-olah budaya barat lebih hebat daripada kita? Budaya barat yang buruk seperti pergaulan bebas, cara berpakaian dan perkara-perkara yang buruk yang ditiru sedangkan kita sepatutnya balik kepada ajaran islam,"ujarnya lagi.

Ditanya tentang nasihat beliau kepada anak-anak muda dan seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan yang ke-55, Wardina berkata, ibubapa berperanan penting dalam memastikan minda anak-anak muda tidak dijajah.

“Sebenarnya, anak-anak muda mencerminkan orang dewasa. Jadi perbuatan orang dewasa akan menjadi ikutan bagi mereka. Jika baik orang dewasa, baiklah anak-anak muda itu. Namun jika sebaliknya, anak-anak muda akan turut rosak.

“Justeru, orang-orang tua perlu membaiki diri mereka dan memberikan contoh yang baik buat anak-anak muda. Jika mereka sendiri belum membebaskan diri daripada penjajahan minda, bagaimana mereka mahu membebaskan pemikiran anak-anak mereka?"ulas beliau.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa sedar tentang budaya kapitalis, satu bentuk penjajahan baru yang selalu diaplikasikan dalam budaya masa kini.

“Budaya kapitalis adalah satu bentuk penjajahan yang baru di mana minda manusia dijajah oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan. Kita diajar untuk membeli barang-barang mahal dengan jenama-jenama tertentu sedangkan ia bukan keperluan, kerana orang-orang kapitalis akan memanipulasikan  kita demi keuntungan mereka.

“Sebagai ibubapa, kita perlu mengajar anak-akan tentang tanggungjawab sosial dan erti sebenar kemerdekaan. Orang mungkin tak nampak kita dijajah, tapi sebenarnya kita masih lagi dijajah dari segi minda dan budaya. Justeru, sesuatu harus dilakukan bagi membebaskan kita daripada penjajahan tersebut.” katanya lagi.

Comments