Menghayati erti kemerdekaan yang sebenar


Hari ini genap 55 tahun kita menyambut kemerdekaan negara. Ini bererti sudah 55 tahun kita bebas dari penjajahan autokratik asing yang telah menjajah kita sejak ratusan tahun yang lalu. Seiring dengan itu, Malaysia melangkah pantas dalam pembangunan ekonomi dan insfrastrukur, menjadikan kita antara negara terpantas maju kehadapan selepas mencapai kemerdekaan. Daripada sebuah negara yang tiada apa-apa, Malaysia kini mula dikenali di serata dunia.

Pemimpin-pemimpin negara yang berkaliber bertindak cemerlang mentadbir serta membangunkan negara demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat. Justeru, mereka juga boleh diiktiraf sebagai pejuang negara. Bezanya, mereka berjuang selepas kemerdekaan, jadi mereka tidak perlu mengangkat senjata atau menumpahkan darah. Sebaliknya mereka berpenat lelah memerah otak memikirkan cara terbaik untuk menjadikan Malaysia lebih maju ke hadapan.   

Definisi Kemerdekaan

Setiap orang tentunya memiliki cara yang berbeza dalam mentafsirkan kemerdekaan. Malaysia  pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing hanya mahu membolot hasil bumi negara. Ketika itu, pejuang tanah air kita mentafsirkan kemerdekaan sebagai membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Justeru, mereka berusaha keras dan sanggup berkorban jiwa dan raga semata-mata mahu membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan, sekaligus mencipta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Tanpa kita sedari, masa begitu pantas berlalu. Jika dulu, kemerdekaan bererti bebas dari penjajahan kuasa luar, kini jawapannya adalah berbeza sama sekali. Rata-rata anak muda mentafsirkan kemerdekaan sebagai kebebasan mengekspresikan pendapat tanpa sebarang sekatan daripada mana-mana pihak. Ada pula yang mendefinisikan kemerdekaan sebagai perpaduan serta bebas  dari sebarang anasir-anasir luar yang cuba memusnahkan keamanan negara. Selebihnya menyatakan bahawa masyarakat yang merdeka adalah masyarakat yang bebas bukan sahaja dari segi penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mentaliti diri.

Kenapa terdapat percanggahan dalam erti kemerdekaan?

Perkara ini terjadi kerana situasi masa kini tidak lagi sama seperti yang dialami nenek moyang kita berpuluh-puluh tahun yang lalu. Generasi baru tidak perlu merasa jerih-perih pejuang masa lalu kerana Malaysia tidak lagi terbelenggu dalam penjajahan kuasa asing. Rakyat masa kini hidup dengan selesa kerana disaluti keamanan dan kemakmuran. Mereka juga diberi peluang untuk mengekspresikan kreativiti sekaligus berpeluang menyuarakan kehendak tanpa sekatan.

Justeru, kita harus menghargai jasa dan pengorbanan nenek moyang kita yang telah bertungkus lumus memerdekakan negara. Tanpa usaha keras mereka, kita tidak akan dapat mengecapi apa yang kita perolehi sekarang.

Kemeriahan Sambutan Hari Kemerdekaan negara

Kemeriahan 31 Ogos dapat dirasa sejak awal bulan lagi. Apa sahaja yang berlaku disekeliling kita, akan dikaitkan dengan kemerdekaan. Diskusi dan cerita-cerita kemerdekaan memenuhi media cetak dan media massa, manakala dendangan lagu-lagu kemerdekaan lama dan baru akan menghiasi corong-corong radio hampir setiap masa.

Sementara itu, kibaran jalur gemilang yang megah dapat dilihat di merata-rata tempat seperti di rumah-rumah, kenderaan, pejabat-pejabat, malah sepanjang jalan di seluruh negara. Tatkala malam kemerdekaan menjelang pula, orang ramai akan bersesak-sesak berkumpul kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan hari yang bersejarah, di samping melaungkan kata-kata keramat, “Merdeka!” tepat jam 12 malam.

Namun semua keghairahan tersebut pasti akan hilang setelah selesainya sambutan bulan kemerdekaan pada hari seterusnya. Semua kata-kata yang berkobar-kobar tadi akan dilupakan dan perjalanan hari-hari seterusnya akan berlangsung seperti biasa. Paling tidak, perbualan tentang hari kemerdekaan akan berlangsung selama beberapa hari sebelum ia hilang sepenuhnya. Ia hanya akan kembali apabila Ogos tahun seterusnya kembali.

Merdekakah generasi masa kini?

Rata-rata generasi muda masa kini sebenarnya meraikan hari kemerdekaan tanpa memahami erti sebenar disebaliknya. Kebanyakan daripada kita menganggap hari kemerdekaan sebagai hari untuk bersukaria bersama teman-teman, meraikan kebebasan diri dan melaungkan perkataan merdeka dengan megah, tapi tidak menghayatinya. Lebih menyedihkan, ada segelintir dikalangan kita yang mengambil kesempatan ini untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral.

Pesta arak, dadah dan wanita menjadi satu cara mereka meraikan kebebasan tanpa sekatan yang diperolehi. Mereka berpesta, mabuk-mabuk, dan menari seperti orang gila sebelum semuanya berakhir lebih tragis. Sebilangan kecil yang lain akan berkumpul beramai-ramai bersama teman-teman, bersemangat waja menunjukkan semangat patriotisme mereka dengan berlumba secara haram di atas jalan raya di saat orang lain telah mulai nyenyak diulit mimpi.

Mereka yang lebih patriotik dan memiliki semangat kepimpinan yang tinggi biasanya akan mentafsir erti kemerdekaan dengan cara yang agak berbeza.  Semangat mereka yang berkobar-kobar untuk mengubah dunia, adakalanya dipergunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memporak-perandakan keadaan. Golongan ini biasanya lebih cenderung mengkritik dan menyalahkan orang lain.

Minda mereka selalunya dipenuhi dengan anasir-anasir negatif dan perasaan ingin memberontak yang membuak-buak membuatkan mereka sanggup bertindak agresif dan menimbulkan perasaan kurang senang dikalangan masyarakat. Niat mereka untuk menambahbaik sistem negara adalah baik, cuma perlaksanaannya agak terpesong sehingga menyebabkan keadaan agak huru-hara.

Secara tidak langsung, itu sebenarnya gambaran yang menunjukkan bahawa kebanyakan daripada kita sebenarnya masih terbelenggu dengan anasir-anasir luar yang cuba menjajah kita secara senyap. Kita lupa bahawa generasi terdahulu telah berjuang bermati-matian untuk memerdekakan negara, tapi kita yang cuba memusnahkannya secara senyap. Mungkin bukan semua, tapi ia sebenarnya barah yang mungkin boleh merosakkan negara.  
Tanggungjawab kita untuk kekalkan kemerdekaan
Sebagai rakyat Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab generasi baru hari ini untuk mengenang kembali perjuangan dan menghayati erti sebenar kemerdekaan. Hayati kemerdekaan yang kita ada dengan sepenuh hati, supaya ia tidak akan tergadai kelak. Tugas kita pada hari ini adalah untuk mempertahankannya dengan ilmu yang penuh di dada. Tanpa ilmu pengetahuan yang tinggi, kemerdekaan yang diperolehi akan menjadi sia-sia.
Kita juga perlu sentiasa bersiap sedia dalam memperkasakan bangsa yang merdeka. Pelihara keamanan kemakmuran politik, ekonomi serta sosial yang ada. Agama dan peradaban seni warisan bangsa juga tidak boleh ditolak ketepi. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar kita saling menikmati erti kemerdekaan yang sebenar. Perpaduan yang terbina semenjak kemerdekaan diperolehi perlu diteruskan dan disemai supaya hubungan rakyat menjadi semakin kukuh. 

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-55!



Comments