KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan wanita
yang mengamuk di luar pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di
Putrajaya semalam, dipercayai mengalami masalah mental, kata polis.
Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa
dirinya Imam Mahadi dan wanita berusia 28 tahun itu juga dipercayai ekstrem
dengan ajaran Islam menyebabkan mereka bertindak mengamuk bersenjatakan dua
bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging.
Ketua Polis Kuala
Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata Khalil Afandi dan wanita itu, dipercayai
baru mengenali satu sama lain seminggu lalu dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, hari ini, beliau berkata Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menggerakkan unit khasnya untuk menyiasat
sama ada mereka menganggotai kumpulan ajaran sesat.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek
bertindak demikian berikutan ajaran agama yang songsang. Polis sedang menyiasat
sama ada suspek anggota ajaran sesat," katanya.
Mohmad berkata, siasatan awal mendapati
sebelum kejadian itu, mereka dihantar oleh sebuah kenderaan sebelum
ditinggalkan di pekarangan JPM.
Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam,
Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas
terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita yang juga bekas
penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan
dan dirawat di hospital sama.
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila
usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan
pedang samurai, cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di
kawasan itu.
Mohmad menjelaskan tindakan polis terpaksa
menembak kedua-dua suspek itu sebagai langkah mempertahankan diri daripada
terus diserang dan meminta orang ramai supaya tidak mempolitikkan kejadian itu.
Mayat Khalil Afandi dihantar ke Hospital
Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari
ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta
Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
- BERNAMA
Comments
Post a Comment