MENGIKUT legenda, Sukan Olimpik purba mula diperkenalkan oleh Hercules, anak kepada Zeus dari zaman Yunani.
Sejarah
menyebut Sukan Olimpik pertama kali diadakan pada tahun 776 sebelum
Masihi, walaupun ramai yang mempercayai tarikh sebenar bila temasya itu
dilangsungkan berlaku lebih awal daripada umum mengetahuinya.
Mengikut
catatan, Coroebus, seorang pelari yang mengambil bahagian dalam temasya
itu telah memenangi acara lari 192 meter, sekali gus menjadikannya
sebagai juara pertama dalam sejarah Olimpik.
Tahun silih
berganti, Sukan Olimpik purba terus berkembang dan mula diperkenalkan
dalam empat tahun sekali untuk selama 1,200 tahun. Bagaimanapun, pada
tahun 393 selepas Masihi, kerajaan empayar Yunani yang diperintah oleh
Maharaja Theodosius 1, seorang yang berfahaman kristian mengharamkan
sukan itu yang dikatakan menjadi festival bagi orang tidak beragama
(pagan).
Titik-tolak daripada tindakan Maharaja Theodosius,
Sukan Olimpik terhenti selama ribuan tahun sehinggalah ia diadakan
semula pada abad ke-19 oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de
Coubertin.
Coubertin dilahirkan pada tahun 1863. Dia hanya
berusia tujuh tahun ketika Perancis di bawah penaklukan Jerman dalam
perang Franco-Prusia pada 1870.
Ada pandangan yang mengatakan,
Coubertin menyumbang kepada kemenangan Perancis dalam peperangan itu
selepas mendapati faktor kekalahan Perancis pada awalnya adalah
disebabkan askarnya yang lesu.
Selepas beberapa tahun dengan
melakukan kajian dan pemerhatian, Coubertin membuat kesimpulan bahawa
faktor keletihan askar Perancis dalam peperangan itu adalah disebabkan
kurangnya masa bersukan.
Minat Coubertin bukan sekadar
memulihkan semangat askar Perancis tetapi lebih daripada itu. Dia
kemudiannya menubuhkan sebuah organisasi sukan USFSA untuk tujuan itu.
Dua tahun kemudian Coubertin mencadangkan agar Sukan Olimpik diadakan
semula dan pada tahun 1892, USFSA mengadakan konvensyen pertamanya di
Paris.
Pada perjumpaan itu, suaranya tidak diendahkan sehinggalah
dua tahun kemudiannya apabila Coubertin menganjurkan pertemuan 79
delegasi daripada sembilan negara yang akhirnya membentuk Jawatankuasa
Olimpik Antarabangsa (IOC).
Wakil Greece, Demetrious Vikelas
telah dipilih sebagai presiden yang pertama manakala Athens sebagai
tempat untuk mengembalikan semula Sukan Olimpik dan pusat
pentadbirannya.
Sukan Olimpik pertama dibuka pada April 1896
dengan memilih Stadium Panathenaic yang asalnya dibina pada tahun 330
selepas Masihi sebagai venue pertama.
Lima cecincin Olimpik ini direka bentuk pada tahun 1913, dan diguna
buat pertama kali dalam Olimpik Musim Panas 1920 di Antwerp. Pada tahun
2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan di tempat asalnya di
Athens, Greece.
Comments
Post a Comment