PUTRAJAYA 11 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat
sedikit pengubahsuaian terhadap proses pengundian bagi pilihan raya umum
(PRU) akan datang, bagi memastikan proses yang lebih telus berdasarkan
beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi
Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, untuk PRU-13,
susunan bilik mengundi agak berbeza apabila wakil parti politik ditukar
kedudukannya dengan petak mengundi, bagi membolehkan mereka mendapat
pandangan yang lebih baik mengenai pengundi dan proses pengundian.
Beliau berkata, tiga kerani pengundian akan ditempatkan di bilik
tersebut dengan kerani pertama akan menyemak nama dan wajah pemilih
serta jari mereka sama ada telah ditanda dengan dakwat kekal, selain
melaungkan muka surat, nombor siri, nombor kad pengenalan dan nama
pengundi supaya wakil parti politik boleh menyemak data tersebut di
dalam senarai pemilih masing-masing.
Kerani kedua pula akan mencalit dakwat kekal pada jari telunjuk kiri
pengundi, manakala kerani ketiga akan mengecap kertas undi dan
menyerahkan keratan kertas undi kepada pengundi terbabit, katanya pada
sesi taklimat bersama media di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata nombor siri dan cap pada kertas undi juga adalah
unik dan berbeza antara satu saluran pengundian dengan saluran
pengundian yang lain, selain kertas undi yang mempunyai ciri-ciri
keselamatan yang hanya boleh dilihat melalui sinaran ultra violet bagi
mengenal pasti sekiranya terdapat kes kertas undi palsu atau kertas undi
tambahan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment