KOTA BAHARU 15 Julai - Juara Liga Super Kelantan akan memberi tumpuan
khusus dalam saingan Piala Malaysia dan Piala AFC (Konfederasi Bola
Sepak Asia) selepas berjaya mengekalkan kejuaraan liga itu untuk musim
kedua berturut-turut.
Kemenangan Kelantan membenam Sarawak 3-1 di Stadium Sultan Muhammad
Ke-IV, di sini semalam, membolehkan skuad The Red Warriors itu
menggumpul 60 mata daripada 26 perlawanan untuk mempertahankan gelaran
itu yang dimenanginya tahun lepas.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa
berkata pemain Kelantan akan diberi cuti rehat selama dua minggu bermula
21 Julai ini iaitu sehari selepas menentang kelab Liga Perdana Inggeris
Queens Park Rangers (QPR) dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.
"Cuti dua minggu itu diberi supaya pemain dapat berehat bersama
keluarga selepas saingan Liga Super dan mereka akan kembali menjalani
latihan selama dua minggu sebagai persiapan menghadapi kedua-dua
kejohanan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas
menyaksikan perlawanan tersebut, malam tadi.
Kelantan merupakan pasukan ketiga berjaya mempertahankan gelaran Liga
Super sejak ia diperkenalkan pada 2004 selepas Kedah melakukannya pada
2007 dan 2008 serta Selangor (2009 dan 2010).
Ditanya mengenai kemampuan pasukan Kelantan mempertahankan trofi
liga untuk musim kedua berturut-turut, Annuar berkata ia merupakan hasil
usaha berterusan pemain, pengurusan pasukan serta penyokong negeri
itu.
“Pemain juga sentiasa mempamerkan semangat juang tinggi ketika
beraksi dan kita juga mempunyai barisan penyokong yang setia," katanya.
Skuad The Red Warriors yang membuat penampilan sulung dalam Piala AFC
musim ini, turut mencatat sejarah apabila mara ke peringkat suku akhir
dalam saingan kejohanan itu.
Kelantan dijadual bertemu pendahulu Liga Iraq, Arbil FC menerusi
perlawanan timbal balik pada 18 September di Iraq dan 25 September di
Kota Baharu. - BERNAMA
Comments
Post a Comment