Ketika negara sedang sibuk mempromosikan
kempen derma organ bagi menyelamatkan nyawa, pendedahan tentang isu jual beli
organ secara haram yang dikatakan turut berlaku di Malaysia ternyata
mengejutkan banyak pihak. Isu ini mungkin
biasa kita dengar di negara-negara miskin dan melarat di dunia, namun jika ia
benar-benar berlaku di negara ini, sesuatu harus dilakukan segera.
Laporan media sebelum ini
menyatakan bahawa satu penyiasatan antarabangsa telah menyenaraikan Malaysia
sebagai salah satu negara yang disiasat oleh polis Bangladesh membabitkan sindiket
berkait isu jual beli organ secara haram. Malah, mereka turut mengaitkan hospital
terkemuka yang mempunyai cawangan di Malaysia dalam senarai hospital yang terlibat.
Pihak polis serta Kementerian
Kesihatan Negara bagaimanapun telah bertindak menyiasat aduan tersebut dan
mendapati bahawa ia tidak benar dan tiada bukti kukuh menunjukkan bahawa
Malaysia terlibat dalam isu ini. Sehubungan itu, pihak PDRM menasihatkan
mana-mana media supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sesuatu berita sebelum
ia disahkan benar.
Pendermaan organ dianggap satu
tindakan mulia kerana ia boleh menyelamatkan nyawa orang lain ketika keadaan
mendesak. Bagaimanapun, penjualan organ dalam pasaran gelap dianggap sebagai
satu tindakan yang mencabul undang-undang kemanusiaan dan diharamkan dalam
agama kerana mereka yang terlibat biasanya mempergunakan penderma demi mengaut
keuntungan, tanpa mengambil kira risiko yang ditanggung oleh penderma.
Peniaga organ secara haram biasanya
mempunyai “orang dalam” dalam sindiket pasaran gelap yang membolehkan mereka
menjual organ tersebut dengan harga tinggi. Lebih mengejutkan, ramai antara
mereka yang terlibat memiliki kepakaran dalam bidang perubatan dan memiliki
kelayakan di atas meja bedah, namun menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan
berlipat kali ganda.
Justeru, Majlis Fatwa Kebangsaan
mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa pemindahan organ adalah harus dan
dibolehkan dalam keadaan tertentu sahaja.
“Pemindahan mata dan jantung orang
mati kepada orang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, atas
syarat-syarat tertentu:
a) Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya.
b) Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
c) Tindakan telah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya serta
d) Memperolehi kebenaran daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga di dalam kematian akibat kemalangan.”
a) Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya.
b) Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
c) Tindakan telah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya serta
d) Memperolehi kebenaran daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga di dalam kematian akibat kemalangan.”
Ini bukan kali pertama isu tersebut dikemukakan media kepada Malaysia. Sebelum ini, satu demonstrasi telah diadakan di kedutaan besar Malaysia di Jakarta ekoran rasa tidak puas hati kononnya pihak berkuasa Malaysia 'mencuri' organ tiga rakyat republik ini yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac lalu. Isu tersebut berlarutan walaupun pemerintah (Indonesia) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mencuri organ rakyat negara itu.
Isu penjualan organ secara haram mungkin
dianggap sebagai perkara biasa di beberapa negara di dunia. Namun ia dianggap
sebagai satu jenayah di Malaysia kerana pemindahan organ perlu dilakukan secara
teliti dan mengikut prosedur tertentu bagi mengelakkan sebarang kematian. Justeru, isu ini tidak boleh dipandang enteng
kerana ia melibatkan nyawa manusia.
Dengan hanya sejumlah wang, sesetengah
manusia sanggup menggadaikan nyawa dan keselamatan diri. Tanpa sedar, mereka
sebenarnya dijadikan alat untuk mengaut keuntungan oleh orang yang tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, kesedaran harus diterap dalam masyarakat tentang
isu jual beli organ secara haram ini agar tiada lagi yang menjadi mangsa. Anda
boleh menderma organ, namun gunakan cara yang sah demi kesihatan berpanjangan.
Comments
Post a Comment