KUALA LUMPUR: Ajakan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat Malaysia mengemukakan cadangan serta
idea yang bernas bagi Bajet 2013 dilihat mendapat sambutan hangat daripada
semua, apabila lebih 500 cadangan telah dikemukakan sejak semalam.
Masalah pemilikan rumah adalah antara
yang paling menyerlah dalam cadangan bagi bajet 2013. Harga rumah di kawasan
bandar dilihat begitu tinggi sehingga membebankan penduduk bandar yang kebanyakannya
berpendapatan sederhana atau pekerja swasta yang sukar mendapatkan pinjaman
dari bank.
Justeru, ada yang mencadangkan
supaya harga rumah diselaraskan kepada satu harga tetap yang tidak terlalu
tinggi dan membebankan pembeli. Mereka juga meminta agar kajian dibuat secara
mendalam bagi mendapatkan harga yang terbaik untuk jenis-jenis rumah yang
ditawarkan.
"Kerajaan harus mengawal harga
rumah dan mengkaji cara untuk menurunkannya bagi perumahan di kawasan bandar
kerana harga terlalu tinggi dan ia tidak mampu dimiliki berpendapatan sederhana."ujar
Nor Syarina Abdul Rahman, 24.
Selain harga yang tinggi, rakyat
juga terpaksa berhadapan dengan karenah birokrasi dalam pinjaman untuk
pembelian rumah, di mana syarat-syarat yang ditetapkan menyebabkan mereka
terpaksa melupakan hasrat untuk membeli
rumah.
“Terlalu banyak dokumen dan syarat yang
perlu dipatuhi. Jika syarat tidak mencukupi, kami tidak akan layak untuk
memohon. Kerajaan seharusnya melonggarkan sedikit syarat-syarat yang telah
ditetapkan. Jika tidak, orang berpendapatan sederhana seperti kami tidak akan
mampu memiliki rumah,”ujar Mohd Suhairie, seorang pekerja bahagian perkhidmatan
di syarikat swasta.
Cadangan supaya harga rumah dan
syarat gaji diselaraskan dilihat boleh membantu penduduk memiliki rumah
mengikut kemampuan mereka. Mereka tidak perlu rasa terbeban untuk memiliki
rumah jika ia selaras dan mengikut kemampuan. Contohnya, perumahan kos rendah
iaitu RM42 ribu untuk pendapatan isi rumah kurang RM2 ribu.
Antara yang menjadi punca harga yang
terlalu tinggi ialah kos tersembunyi ketika pembinaan, harga hartanah, dan
penglibatan orang tengah dalam urusan jualbeli rumah.
Kos tersembunyi membina rumah kos
rendah mungkin dipindahkan kepada pembeli rumah, menjadikan rumah biasa lebih
mahal. Ini tidak adil buat pembeli rumah memandangkan mereka terpaksa membayar
lebih daripada yang sepatutnya. Justeru, pemantauan harus dibuat supaya pihak
pemaju tidak mengambil keuntungan secara senyap-senyap.
Harga hartanah di bandar-bandar
terutamanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur biasanya lebih mahal daripada
harga tanah luar bandar. Secara tidak langsung, ia dilihat akan mempengaruhi
harga rumah menjadikan ia lebih mahal meskipun jenis rumah tersebut boleh
diperolehi dengan harga lebih murah di kawasan lain.
"Kerajaan perlu serius
menubuhkan mekanisme untuk mengawal harga hartanah yang telah melambung di luar
kawalan kerana dibeli oleh spekulator dan pembeli asing sebagai pelaburan yang menggalakkan
pemaju untuk membina rumah untuk mereka dan bukannya penduduk tempatan,"saran
Mafliza Mahadi.
Hartanah tersebut biasanya
melibatkan hartanah di negeri-negeri yang pesat membangun seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor
yang berada berhampiran dengan negara-negara jiran.
Penglibatan orang tengah pula biasanya
berlaku jika seseorang membeli rumah secara ejen. Meskipun begitu, pembelian
daripada pemilik pertama turut mempengaruhi harga rumah. Ada antara rumah
tersebut dibeli dengan harga rendah oleh pemilik pertama, tapi dijual dengan
harga lebih tinggi kepada pemilik kedua.
Kes-kes ini biasanya berlaku apabila
pemilik pertama cuba mencari keuntungan lebih dengan urusan jualbeli rumah.
Yang menjadi mangsa ialah pembeli-pembeli yang benar-benar serius untuk
memiliki rumah. Justeru, beberapa cadangan dikemukakan agar pembeli rumah
pertama dilindungi.
"Lindungi pembeli rumah
pertama. Hadkan pembelian beli rumah kedua dengan membenarkan hanya 50%
daripada pembiayaan bank. Ini adalah untuk membendung spekulasi harga rumah.”ujar
Abdul Rahman Adam dari Subang Jaya.
Ada juga yang menyatakan bahawa
harga rumah sebenar adalah rendah, namun manipulasi pihak tertentu menyebabkan
harganya semakin meningkat. Justeru, mereka mencadangkan prosedur pengawalan
jual beli rumah terutamanya kepada pelabur yang mahu mengambil keuntungan berlebihan.
"Harga hartanah, kos untuk
membina rumah sebenarnya sangat murah. Dan kenaikan harga rumah kerana pelabur
terus menjual dan membeli. Mencadangkan prosedur untuk mengawal jualan rumah
kepada pelabur dan masa pembelian rumah pertama yang sebenarnya." kata Mohd Hafiz
Zainuddin, pekerja swasta.
Keprihatinan PM dalam memperkenalkan
skim rumah pertama buat rakyat Malaysia yang belum memiliki rumah dilihat
menjadi perintis pertama dalam pemilikan rumah buat setiap rakyat malaysia. Meskipun
begitu, ia masih sukar dicapai sekiranya keadaan hartanah dan rumah yang
terlalu mahal terus berlarutan.
Justeru, cadangan yang dikemukakan
oleh rakyat diharap mendapat tindakbalas positif. Sekurang-kurangnya, sesuatu
boleh dilakukan bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan dan berpendapatan
sederhana.
Comments
Post a Comment