KUALA LUMPUR- Trend pengundi muda
dikatakan bakal menentukan kemenangan sesuatu parti kerana mereka biasanya
lebih suka bertindak sebagai pemerhati, sebelum membuat keputusan.
Menurut Ketua Pemuda MIC, T. Mohan,
pengundi muda memainkan peranan penting bagi menentukan kemenangan parti kerana
kebanyakan mereka hanya akan membuat keputusan saat-saat akhir, yang boleh
menimbulkan satu kejutan.
“Kita banyak kalah pada 2008 sebab
pengundi muda. Itu satu kejutan yang kita paling tak sangka. Bagaimanapun, kita
yakin pengundi muda sudah mula kembali kepada kita.”katanya.
Menurut beliau lagi, statistik terkini
menunjukkan bahawa terdapat antara 60 hingga 65 peratus pengundi memilih
Barisan Nasional berbanding Pakatan Rakyat kerana sikap parti pembangkang
tersebut yang hanya pandai berjanji, tetapi tidak menepatinya.
“Kalau BN, kita boleh nampak
kerja-kerja yang dibuat, terutamanya dari PM sendiri. Datuk Seri Najib banyak membantu
dari segi menaiktarafkan masyarakat India. Malah beliau turut memperuntukkan
seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri khas untuk menyelesaikan isu masyarakat
India. Kerjasama beliau dengan Datuk Seri Palanieval banyak membantu masyarakat
India.”
Sebagai kaedah untuk menarik kembali
hati pengundi muda, MIC dan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai
program, antaranya, Konsert BN Youth Music dan penggunaan media baru bagi
mendekati masyarakat terutamanya kaum muda secara lebih dekat.
“Konsert ini merupakan pendekatan BN
bagi menyampaikan mesej dan memberitahu masyarakat tentang kerja-kerja dan
sumbangan yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri dan Barisan Nasional. Saya
gembira kerana tindakbalas yang didapati sangat baik. Rata-rata mereka yang
datang bukan sekadar untuk berhibur, justeru mereka benar-benar menyokong BN.”
“Kita turut menggunakan twitter,
blog, facebook dan sebagainya untuk berhubung dengan masyarakat. Jika ada
sebarang aduan, kita akan cuba kaji dan turun padang. Contohnya semalam, kita
terima satu mesej tentang satu masalah, jadi kita terus siasat dan turun padang
demi membantu mereka.”
Penguasaan orang lama dalam MIC
dilihat sebagai satu cabaran besar bagi menarik pengundi baru memandangkan
pendirian orang lama dan orang baru biasanya berbeza, Bagaimanapun, kehadiran presiden
MIC yang baru dianggap satu peluang terbuka kepada orang muda dalam parti,
sekaligus menarik pengundi muda.
“Dengan adanya kepimpinan baru MIC,
kami yakin ia boleh menarik pemimpin dan pengundi muda. Datuk Seri Palanieval
banyak bagi peluang dan kebebasan kepada pemuda MIC kerana beliau yakin akan
kebolehan anak-anak muda. Dengan cara yang beliau bawa, peluang terbuka luas
dan banyak pemuda yang boleh turut serta lagi.”
Ditanya tentang apa sebenarnya yang
dimahukan oleh pengundi muda, beliau menjawab,
“Mereka mahukan setiap masalah
diambil tindakan segera. Mereka tak suka janji kosong, tapi lebih melihat
kepada hasil daripada apa yang dijanjikan.”jelas beliau.
Ujar beliau, selain berkaliber dan
bersih daripada sebarang kontroversi, seseorang “winnable candidate” juga
haruslah bijak mendekati dan mengambil hati masyarakat, serta menghormati dan
memahami kehendak rakyat.
“Saya berharap agar kaum muda akan
terus menyokong kepimpinan BN dan MIC. Masih banyak pembangunan yang mahu kami sumbangkan
kepada masyarakat terutamanya kaum india di Malaysia.”ujarnya.
Comments
Post a Comment