punca belia malas mengundi..


Menurut seorang bekas mahasiswa UiTM, kebanyakan belia yang berpendidikan tinggi lebih cenderung menyokong pembangkang atau memilih untuk tidak melibatkan diri atau mengambil tahu tentang politik kerana kecewa dengan situasi semasa negara yang dilihat merugikan mereka.

“Kerajaan mungkin membuka banyak peluang kemasukan ke universiti, memberikan peluang belajar dengan pinjaman PTPTN, namun ia sebenarnya turut menggalakkan mahasiswa terbelenggu dengan hutang selepas keluar dari universiti, sedangkan peluang kerja belum tentu ada.

Had umur bagi penjawat awam yang dinaikkan kepada 60 tahun pula langsung tidak membantu apabila peluang untuk belia seperti kami makin kecil. Akibatnya, kami sukar mencari pekerjaan yang menjamin masa depan, dan sukar membereskan hutang yang membelenggu kami.”ujar beliau.

Seorang lagi bekas mahasiswa berkata, had umur dalam kerajaan sebelum ini iaitu 55 tahun adalah berpadanan memandangkan umur memainkan peranan penting dalam memastikan fleksibiliti dalam kerja.

“Makin lambat mereka bersara, barisan penganggur yang menunggu peluang untuk diserap masuk makin panjang, jadi peluang mereka menjadi makin sukar. Mereka yang bersara boleh membuat kerja  sambilan seperti menulis buku atau kerja sambilan berdasarkan kepakaran mereka sedangkan kami terkontang kanting kerana sukar mendapat kerja.”

Pihak pembangkang pula dilihat mengambil kesempatan diatas kesempitan apabila mereka bertindak meracuni pemikiran belia tersebut dengan janji-janji yang sukar untuk dipenuhi. Janji-janji tersebut nampak relevan, sekaligus memenuhi harapan belia yang sedang meniti alam pekerjaan yang sukar. Justeru, belia dan mahasiswa yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas lebih mudah dibakar untuk menentang.

Pihak pembangkang turut memutarkan isu-isu pemberontakan belia terhadap kerajaan seperti yang berlaku di luar negara, sekaligus, menaikkan lagi semangat darah-darah muda ini untuk menentang kerajaan. Dengan adanya sokongan kuat dari pihak pembangkang, mereka tidak takut untuk bertindak secara melulu.

Keadaan semasa yang semakin hampir dengan pilihanraya, menampakkan kesungguhan dua parti besar negara untuk cuba memikat hati semua pihak termasuk belia. Bagaimanapun, bukan semua orang yang dapat dipuaskan. Ramai belia mengadu bahawa mereka sudah muak dengan skandal-skandal politik, kontroversi keterlaluan dan iklan-iklan berlebihan di televisyen yang memujuk mereka untuk memilih parti-parti tertentu.

Mereka lebih suka mengambil jalan mudah untuk tidak mengundi dengan alasan, walau siapapun yang memimpin, keadaan tetap tidak akan berubah. Masalah kedua-dua parti yang selalu digembargemburkan media juga mencalarkan reputasi mereka di mata belia yang sedang mencari tapak untuk berdiri. Kesudahannya, mereka hilang minat untuk mengambil tahu tentang keadaan politik negara, apatah lagi untuk keluar mengundi. 

Comments