DJ radio pendiam
DI sekolah, dia seorang yang sangat susah untuk
berkomunikasi malah dalam kelas juga kelibatnya bagaikan tidak dipandang akibat
terlalu pendiam. Bagaimanapun, Tara Adams mencari jalan penyelesaian kepada
kekurangannya itu dengan mengekspresikan minat mendalamnya terhadap muzik
menerusi siaran podcast, iaitu radio online setiap kali menjelang malam.
Ironinya, biarpun dia akan sentiasa bercakap pada siaran
yang dipanggil Radio Rebel itu, di sekolah, dia tidak mampu untuk bercakap
sepatah pun. Apatah lagi dengan kehadiran seorang pelajar popular yang dikenali
sebagai penyanyi rock di situ iaitu Gavin. Selepas guru dramanya memasangkan
mereka untuk tugasan kelas bersama seorang lagi pelajar kesukaan ramai, Stacy,
ia menjadi bala buat Tara.
Di sebalik itu, Radio Rebel yang dihoskannya semakin ramai
pengikut dan menjadi bualan di stesen-stesen radio tempatan. Bagi mereka,
siaran itu mencetuskan kebebasan kepada mereka untuk menjadi diri sendiri dan
meraikan perbezaan yang ada dalam diri mereka.
Ini termasuklah Gavin yang menyatakan kagum dengan siaran
terbabit kerana muzik yang diputarkan menepati cita rasanya. Meskipun begitu,
apabila dia mengatakan perkara itu, Tara masih mendiamkan diri. Sejak itu, dua
dunia berbeza Tara itu menjerat dirinya di persimpangan yang tidak terduga.
Disebabkan sambutan hangat, Radio Rebel dicalonkan pula pada
acara prom sekolah berkenaan sehingga acara itu dibatalkan oleh pengetua.
Pembatalan itu mengundang amarah peminat siaran itu, meninggalkan Tara dalam
dilema dan perancangan alternatif perlu dibuat.
Begitulah kisah filem di Disney Channel, Radio Rebel,
dibintangi Debby Ryan yang akan ditayangkan di saluran Astro 615, jam 7.30
malam, Ahad ini. Disuntik dengan elemen drama yang tidak keterlaluan, ia
pastinya menghiburkan penonton terutamanya golongan muda-mudi dan juga
kanak-kanak.
Mengulas mengenai filem ini, Debby yang lebih popular
menerusi siri Jessie, juga di saluran Disney berkata, berlakon dalam filem
lebih banyak menggunakan tenaga kerana penggambarannya berterusan.
-metro-
Comments
Post a Comment