Pokok nikmat

Pohon dari spesies Pine Cypress miliki persamaan genetik 98 peratus papan dari bahtera Nabi Nuh, dikatakan mujarab lawan pelbagai penyakit

MUNGKIN anda pernah mendengar orang memperkatakan mengenai keajaiban amalan pemakanan yang didakwa boleh memanjangkan usia seseorang melebihi purata hayat manusia. 

Sejak berzaman lalu, sudah banyak teori dan kajian yang dilakukan saintis di seluruh dunia bagi mencari rahsia di sebalik usia panjang. Baik era mana sekalipun, hingga hari ini, saintis masih berdebat dalam mencari rahsia panjang umur. 
 
Seorang saintis masyhur yang pernah memenangi Hadiah Nobel, Dr Henri Coanda dilaporkan mendakwa, ada lima lima tempat di dunia di mana penduduknya merekodkan purata umur terpanjang iaitu suku kaum di Peru; Ecuador; Georgia; Mongolia dan Lembah Hunza di Banjaran Karakoram, Pakistan.

Di antara lima suku kaum ini, kaum Hunza berada di senarai teratas purata umur panjang iaitu antara 100 tahun hingga 140 tahun, hampir melebihi separuh purata umur manusia.

Pasti ramai tertanya-tanya apakah keunikan Lembah Hunza sehingga penduduknya dikatakan boleh menikmati umur panjang dan sihat walaupun ia kawasan terpencil di dunia.

Hakikatnya, berbalik kepada faktor geografi, kawasan pergunungan Lembah Hunza banyak dikelilingi pokok Pine Cypress. Namun, apakah hubung kait pokok ini usia panjang Kaum Hunza? Persoalan demi persoalan terus bermain sehinggalah ia berjaya dirungkai saintis dan ulama Islam selama lebih 50 tahun.

Pokok Pine Cypress adalah spesies pokok di mana kayunya digunakan untuk membuat bahtera Nabi Nuh AS ketika banjir besar. Setiap apa yang diperturunkan dalam al-Quran dan Islam memiliki kelebihan tersendiri.

Riwayat menyatakan benih pokok yang diturunkan Allah SAW untuk digunakan membina bahtera Nabi Nuh AS datang dari syurga. Namun, kajian moden membuktikan pokok Pine Cypress memiliki persamaan genetik sebanyak 98 peratus apabila dibandingkan dengan spesimen kayu dari tinggalan bahtera Nabi Nuh AS.

Rahsia usia panjang kaum Hunza sebenarnya datang dari kawasan mereka sendiri. Kaum Hunza mendapat sumber air utama dari telaga dan mata air glasier. Akar dari pokok Pine Cypress dan getah menjalar masuk dan jatuh ke dalam sumber air mereka. Kadangkala ada daun dan buah pokok Pine Cypress jatuh dan menjadi sebati dalam sumber air utama Kaum Hunza.

Sehubungan itu, rahsia dan mukjizat pokok Pine Cypress secara tidak langsung dikatakan memberi kelebihan kepada Kaum Hunza dalam memanjangkan usia mereka.

Pokok Pine Cypress adalah sejenis pokok besar, tinggi, memiliki batang yang berjalur, lurus, berdaun halus dan termasuk dalam keluarga pokok Pine.

Pokok ini boleh mencapai ketinggian antara 120 kaki sehingga 450 kaki dan mempunyai batang yang keras, tahan lasak dan bersifat kalis air. Pokok ini banyak tumbuh di kawasan banjaran gunung yang beriklim sejuk selain kawasan berpaya dan becak.

Kajian yang dibuat sangat menakjubkan kerana hampir keseluruhan pokok ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan kesihatan maksimum. Paling hebat adalah kajian terhadap getah pokok ini yang dikatakan sangat mujarab dalam merawat hampir semua penyakit atau masalah kesihatan.

Pokok Pine Cypress dikatakan memiliki keupayaan luar biasa berikutan memiliki ciri-ciri anti virus, kuman dan depresif. Ia didakwa mampu melegakan kesihatan dan membantu sistem penghadaman dan perkumuhan supaya berfungsi dengan lebih baik.

Pendek kata, jika penemuan menyeluruh terhadap pokok ini siap berada di tangan, hasilnya sangat menakjubkan. Ini kerana setiap inci pokok ini boleh digunakan dalam tujuan perubatan moden.

Pengamal perubatan Islam dan pengkaji Pine Cypress, Dr Azhar Ali, berkata kajian menunjukkan pokok ini mempunyai bahan fitokimia yang sangat bernilai tinggi untuk kesihatan seperti monoterpenes dan phycenogenol.

“Khasiat dalam tumbuhan ini merangkumi satu ruang lingkup yang sangat mengagumkan. Kebaikannya di dalam mencerna gelombang tenaga dan meningkatkan aktiviti antioksida dengan menghalang radikal bebas.

“Ia turut menjana homeostasis (keadaan harmoni) dalam tubuh badan dan persekitaran, merangsang kepada penyembuhan dalaman, pembaikan dan penjanaan sel baru selain merangsang sistem imunisasi yang lebih baik,” katanya kepada Rona.

Comments