Mayat berulat: Mati seorang diri

KUALA TERENGGANU - “Saya ingatkan telefon dia rosak sebab sejak tiga hari lalu, telefonnya tidak berjawab dan disebabkan itulah, hari ini (kelmarin) saya datang untuk memberikan telefon baru kepadanya,” demikian menurut Mohd   Onn Daud, 53.

Mohd Onn tidak menyangka hasratnya berkunjung ke rumah bapa saudaranya, Ramli Abdullah, 73, di Taman Haji Da, Pengadang Baru di sini, untuk menyerahkan telefon bimbit baru membawa penemuan mayat mangsa yang dalam  keadaan reput dan berulat di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, Mohd Onn berkata, dia yang baru pulang dari Kuala Lumpur bersama isteri dan dua anaknya sebelum itu beberapa kali memberi salam bagaimanapun, salam mereka tidak bersahut.

“Ketika itu kami tidak menyangka sebarang perkara buruk berlaku kerana sebelum ini pun, bapa saudara saya kerap menumpang tidur di rumah adik beradiknya yang lain.

“Bagaimanapun, hati saya terdetik untuk mencuba membuka pintu rumah dan setelah pintu dibuka, saya terkejut apabila mendapati mayat bapa saudara saya yang sedang mengiring di atas katil dengan berkain pelekat sudah berulat  dan berbau itu,” katanya.

Menurut Mohd Onn, terkejut melihat keadaan itu, dia terus memaklumkan kepada jiran berhampiran untuk mendapatkan bantuan. Mohd Onn menjelaskan, bapa saudaranya tinggal seorang diri kerana tidak pernah berkahwin dan selama ini, hanya mengharapkan saudara mara datang melawat serta membawa makanan kepadanya kerana semakin uzur disebabkan penyakit kencing manis serta darah tinggi dihidapinya sejak April lalu.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

Comments