SEGAMAT: Seorang peniaga bahan binaan mati ditembak dari jarak dekat
ketika mengisi minyak kenderaannya di sebuah stesen minyak dekat Jalan
Genuang di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi,
Lim Ching Hoon, 63, mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk
susulan terkena enam das tembakan masing-masing pada dada, lengan, paha,
betis, pipi dan kepala.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud, berkata ketika
kejadian, mangsa dari Taman Mega Segamat di sini yang memandu sendirian
singgah mengisi minyak kereta Mercedes Benz miliknya di stesen terbabit
kerana mahu ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan.
“Dua suspek bertopi keledar penuh menutupi muka yang menunggang
motosikal berwarna gelap membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan
Genuang dan menghampiri mangsa sebelum pemboncengnya melepaskan
tembakan.
“Mangsa yang mengusahakan perniagaan bahan binaan di
Jalan Muar-Segamat kemudian terjatuh sebelum suspek melepaskan beberapa
das tembakan lagi.
“Suspek dipercayai menggunakan pistol
automatik berdasarkan enam kelongsong peluru yang ditemui di tempat
kejadian sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu dengan
motosikal,” katanya di sini, semalam.
Hanafi berkata, polis
masih menjalankan siasatan motif serangan, selain meneliti rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai
kejadian itu diminta menghubungi pihaknya menerusi talian 07-931 2222
bagi membantu siasatan.
Comments
Post a Comment