KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) ketika ini menawarkan tambang
udara antarabangsa terangkum yang menarik dengan pengurangan sehingga 47
peratus daripada tambang kelas ekonomi paling rendah dan 50 peratus
daripada tambang kelas perniagaan paling rendah untuk pelanggan
Malaysia.
Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata
tawaran-tawaran ke destinasi terpilih di Asean, Australia, New Zealand,
Jepun, China, India, dan Maldives ini tersedia sehingga 18 Jun, 2012
dan sah bagi perjalanan sehingga 13 Ogos, 2012.
Naib Presiden Kanan Serantau bagi Malaysia & Asean, Muzammil
Mohamad berkata tawaran itu adalah antara yang terbaik dan MAS
menjadikannya sebagai perjalanan mampu milik di sesetengah penerbangan
terpilih ke dan dari Malaysia.
Antara tambang udara perjalanan kelas ekonomi menarik yang ditawarkan
bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke destinasi Asean ialah ke Medan
(RM408), Phuket (RM478), Jakarta (RM538) dan Ho Chi Minh City (RM598).
Tambang udara perjalanan kelas Perniagaan bermula daripada sehingga
serendah RM808 ke Medan, RM1,308 ke Phuket dan Singapura serta RM1,658
ke Bangkok.
Perjalanan pergi balik kelas ekonomi ke destinasi terpilih lain juga
sangat mampu milik bermula dengan RM798 ke Hong Kong, RM1048 ke Beijing,
RM1118 ke Chennai dan RM1598 ke Perth.
Tambang menarik yang sama juga ditawarkan bagi perjalanan kelas
perniagaan seperti RM2,408 ke Chennai, RM2,998 ke Guangzhou dan Xiamen,
RM3,098 ke Beijing, Hong Kong dan Bangalore, RM4,908 ke Male/Maldives
dan RM5,098 ke Perth.
Pelanggan yang memulakan perjalanan mereka dari Pulau Pinang dan Johor
Baharu menikmati tambang udara yang sama, manakala MAS menawarkan
diskaun 50 peratus bagi sektor domestik Semenanjung Malaysia ke dan dari
Kuala Lumpur yang menghubungkan ke destinasi antarabangsa.
Bagi Sabah dan Sarawak, kadar sehala standard RM240 ditambah kepada tawaran tambang kelas ekonomi.
Begitu juga, tambang udara kelas perniagaan diberi kadar yang sama bagi
perjalanan dari Pulau Pinang dan Johor Baharu manakala diskaun 50
peratus bagi tambang kelas perniagaan terpakai bagi sektor dari
tempat-tempat lain di Malaysia ke/dari Kuala Lumpur.
Tawaran-tawaran ini boleh didapatkan di laman web
www.malaysiaairlines.com, talian bebas tol 24 jam MAS di 1 300 88 3000,
MH Buddy dalam MAS Facebook, pejabat tiketnya dan ejen dilantik di
seluruh Malaysia. - Bernama
Comments
Post a Comment