Dari blog
Aku mesti menulis
tentang Aurangzeb. Namanya yang sengaja dihitamkan oleh ahli-ahli sejarah yang
prejudis dengan Islam harus dibersihkan. Sejak kecil aku mengenali tokoh ini
melalui buku-buku sejarah yang diajar di sekolah rendah.
Kata
mereka dia adalah seorang tokoh kejam, tidak bertimbang rasa dan tidak
berakhlak. Malah pada waktu itu aku menjadi seorang antara ribuan orang
Islam yang menyanjung Akbar, Shah Jehan dan lain-lain raja dalam Dinasti Mogul
di India.
Akbar
tidak patut disanjung seperti yang ditonjolkan oleh orientalis-orientalis
Barat. Sifat bertimbang rasa, lembut dan pemaafnya sangat tidak kena pada
tempatnya. Malah ia adalah penguasa yang jelas menentang hukum-hakam Islam
dengan menyediakan pelacur-pelacur di tempat-tempat rehat para musafir di dalam
negaranya.
Dan
kemungkaran terbesar yang dibuat oleh Akbar ialah mencipta agama Din Ilahi,
iaitu agama paduan antara Hindu, Buddha, Kristian dan Islam. Ia juga terlalu
memberi muka kepada penentang-penentang Islam dengan menarik semula pembayaran
jizyah sepertimana yang telah ditetapkan oleh syariat.
Sebaliknya, Aurangzeb adalah tokoh yang tegas, berani dan
kuat memegang syariat. Beliau juga adalah ahli sufi yang benar-benar kuat
menjalankan mujahadah dan latihan-latihan rohani. Beliau ialah seorang mujahid
yang tidak teragak-agak menggunakan senjata apabila keadaan memerlukannya.
Sembahyang dan puasanya begitu banyak. Beliau mengharamkan arak,
nyanyian-nyanyian, tari-tarian, gundik-gundik yang telah bermaharajalela dalam
istana Dinasti Mogul sebelumnya. Fikiran dan firasatnya sangat tajam dan ini
telah membuktikan dengan beberapa peristiwa.
Satu
ketika peperangan telah meletus antara tentera Islam Dinasti Mogul dengan kaum
pemberontak di dalam negara India. Dalam peperangan itu, tentera Islam
hampir tewas kerana tentera-tentera musuh menggunakan sihir. Senjata yang
mereka gunakan tidak dapat digunakan menentang musuh kerana telah ‘bertukar’
kepada benda-benda lain.
Dengan ini, tentera Islam lemah semangat dan dengan
mudah dibunuh oleh tentera musuh.
Ternyata,
tentera Islam tidak dapat menentang sihir yang dilakukan oleh tentera musuh.
Berita ini telah diberitahu kepada Aurangzeb. Kerajaan Mahrata jika tidak
segera dikalahkan, akan memusnahkan kerajaan Mogul yang Islam dan ini sudah
tentu membahayakan semua penganut Islam di India. Tetapi bagaimanakah caranya?
Bagaimana dan apakah yang perlu dilakukan untuk menghadapi tentera-tentera
musuh yang menggunakan sihir ini?
Aurangzeb
adalah orang yang sangat soleh. Beliau adalah seorang putera sufi yang yakin dengan bantuan
Allah dalam menghadapi apa jua keadaan. Dikumpulkannya semua tentera Islam dan
pada setiap senjata yang hendak dibawa bertempur digantungnya sehelai kain yang
bertulis. Tetapi isi tulisan itu dirahsiakan, dan tidak siapa yang dibenarkan
membuka kain yang terlipat itu sebelum tamat peperangan. Aurangzeb mengingatkan
tenteranya supaya bertaqwa kepada Allah dan yakinlah selalu dengan bantuan
Allah. Beliau juga berpesan supaya jangan gentar menghadapi sihir tentera musuh
kerana kain yang diikat pada setiap senjata itu akan menjadi pendinding.
Tentera
Islam pun berperang dengan berani dan penuh keyakinan serta bertawakal kepada
Allah. Mereka pun berjaya. Bila tamat peperangan, Aurangzeb memerintahkan
tenteranya membaca tulisan pada kain yang diikat pada senjata, alangkah
terkejutnya mereka bila tulisan pada kain yang diikat itu yang ada pada kain
itu hanya perkataan: Bismillah!
Satu
tindakan berani yang dilakukan oleh Aurangzeb semasa pemerintahannya ialah
mengharamkan muzik yang melalaikan. Sebarang bentuk hiburan selain zikir,
selawat dan lagu-lagu memuji Allah dilarang keras. Tentunya itu menimbulkan
kejutan yang amat sangat dalam kalangan ahli-ahli muzik di negaranya, kerana
selama ini muzik sangat disanjung dan mendapat tempat yang istimewa di hati para
pemerintah sebelumnya.
Namun,
bagi Aurangzeb yang tegas berpegang kepada syariat, segala bentuk perkara yang
haram tetap haram walaupun disukai ramai. Padanya, muzik yang melalaikan
membunuh jiwa perjuangan dan menyuburkan rasa khayal kepada cinta asyik maksyuk
yang diharamkan oleh Islam. Ia berpegang tegas kepada sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk(manusia) dengan bermaksiat kepada
Khalik(Allah).”
Tindakan
ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang sangat meluas dalam kalangan para pemuzik
dan mereka yang bersimpati dengannya. Lalu mereka mencari satu jalan untuk
membantah undang-undang itu. untuk bangun menentang secara kekerasan mereka
takut kerana mereka arif benar dengan sikap Aurangzeb yang tidak teragak-agak
mengangkat senjata demi menegakkan hukum Allah.
Akhirnya
mereka bersepakat melakukan demonstrasi secara besar-besaran. Untuk itu mereka
telah membuat sebuah keranda yang besar untuk dibawa semasa perarakan. Dalam
keranda itu mereka telah isikan semua alat-alat muzik mereka. Tentu keranda itu
sangat besar memandangkan alat-alat muzik kepunyaan para pemuzik di dalam
negara India itu sangat banyak.
Pada
hari yang ditetapkan, beraraklah beramai-ramai. Sambil berarak mereka menangis
tersedu-sedu. Tangisan itu bergema di seluruh negara menghasilkan suasana yang
pilu dan menusuk jiwa. Rupa-rupanya tangisan itu mengundang raja dan rakyat
seluruhnya kepada nasib pemuzik. Keranda besar itu turut diusung beramai-ramai
sehinggalah perarakan itu melalui rumah Aurangzeb. Mendengar tangisan yang
mendayu-dayu, Aurangzeb pun bertanya, “Apakah yang sedang berlaku?”
Orang
pun menjelaskan bahawa itulah perarakan para pemuzik. Aurangzeb pun keluar
melihat perarakan itu dan terus nampak keranda besar yang diusung.
“Apakah
yang diisikan dalam keranda besar itu?”
Orang
menjawab, “Itulah muzik yang tuanku bunuh. Ia sudah menuju tempat
pengebumiannya.”
Mendengar
itu, Aurangzeb pun berkata, “katakan kepada ahli-ahli muzik itu, cepat-cepatlah
kebumikannya kerana aku dan rakyat ku tidak tahan lagi bau bangkainya!”
Jawapan
ini sangat tegas dan tepat. Ahli-ahli muzik yang mengharapkan simpati dari
Aurangzeb kecewa dan sekarang mereka kenal siapa Aurangzeb yang sebenarnya.
Tetapi dalam hati Aurangzeb, raja soleh itu, puas kerana telah menyelamatkan
rakyatnya daripada kelalaian dunia hedonisme. Dia sedar bahawa dialah yang akan
ditanya di Padang Mahsyar nanti terhadap apa yang dilakukannya pada
rakyat-rakyatnya. Biarlah pahit, kerana itu selalunya ubat.
Dalam
hidupnya dia selalu menangis, iaitu apabila mendengar nasihat-nasihat
alim-ulama. Beliau sangat serius bila mendengar tarbiah daripada ulama-ulama
tasauf. Sembahyang tahajudnya banyak, hidup sederhana dan sering berpuasa
sunat. Walaupun istana Mogul cantik dan mewah, Aurangzeb akan berada di situ
sewaktu ada tugasan-tugasan rasmi sahaja. Rumahnya yang sebenar berada di tepi
istana iaitu sebuah rumah kecil yang sangat sederhana.
Aurangzeb
memerintah India selama 47 tahun. Iaitu dari tahun 1659 hingga 1707. Semasa
menegakkan satu kerajaan yang kukuh, beliau tidak teragak-agak untuk bertindak
demi menegakkan hukum Allah walaupun terpaksa berhadapan dengan
saudara-saudaranya. Baginya pertalian syahadah melebihi pertalian darah dan
saudaranya ialah siapa sahaja yang kuat berpegang kepada hukum Allah.
Dalam
masa pemerintahan juga, beliau terpaksa berhadapan dengan
pemberontak-pemberontak yang telah dimulakan oleh pemerintah-pemerintah dahulu.
Dengan tegas, beliau menukarkan nama kota Banares, kepada Ahmadabad dan
mendirikan sebuah masjid besar yang mempunyai kubah putih dengan menaranya
menjulang tinggi ke langit. Berkat melimpah-limpah semasa pemerintahannya
apabila hasil pendapatan meningkat dengan tinggi melebihi apa yang dicapai
semasa pemerintaha Akbar.
Inilah
antara usaha kecil ku untuk membersihkan nama Aurangzeb dari cercaan umat Islam
dari zaman ke zaman. Kita telah diracuni sejarah hasil tulisan orientalis yang
mengagungkan Akbar dan Shah Jehan. Sedangkan mereka berdualah sebenarnya
penguasa yang telah mencuaikan tanggungjawab sebagai khalifah Islam. Sedangkan
Aurangzeb yang soleh itu dituduh kejam dan namanya ditenggelamkan dalam sejarah
Islam.
Memang
dia keras tetapi adakalanya kita memerlukan orang-orang yang keras untuk
menjaga kesucian Islam. Peribadi Aurangzeb yang tegas ini mengingatkan kita
kepada Sayidina Umar Al Farouk yang terkenal ketegasannya itu. Dan mereka
berdua inilah antara ribuan mujahid-mujahid Islam yang menepati sanggup dibenci
kerana menjaga kesucian agama.
Sebagai
manusia biasa, Aurangzeb tentunya mempunyai kesalahan dan kelemahan. Semoga,
baginda diampunkan Allah. Mungkin menyedari kelemahannya itu, baginda telah
berkata, “Kalaupun aku kejam, adalah kerana cinta ku kepada Islam semata!”
Nukilan Genta Rasa
Comments
Post a Comment