Selepas 19 tahun merempat di India, baru pulang..

KUALA LUMPUR - Setelah ditinggalkan oleh bapa mereka selama 19 tahun dalam keadaan melarat di India, lima adik beradik dan ibu mereka akhirnya pulang semula ke Malaysia semalam dengan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia.
 
Mereka ialah Mohammad Yusof Al Safeer, 25n), Bismeera Al Jafeer, 23, Mohammad Yunus Al Safeer, 22 dan Rahimmeera Al Jafeer, 21, yang kesemuanya lahir di Malaysia dan masih berstatus warganegara Malaysia.
 
Menurut Pengerusi biro itu Datuk Muhd Khairun Aseh, anak bongsu iaitu Abdul Manaf Al Safeer, 19, lahir di India dan ibu mereka iaitu Nadeera Mohamedali Maniam adalah warganegara India.
 
"Selepas berkahwin dengan Nadeera pada sekitar tahun 80an, bapa mereka iaitu Mohd Ali Maniam (warganegara Malaysia) telah membawa empat orang adik beradik itu untuk balik ke kampung ibu mereka di Kerala, India pada tahun 1993," katanya kepada pemberita dalam satu majlis yang menemukan keluarga tersebut dengan nenek serta ibu saudara mereka di sini, hari ini.
 
Selepas tinggal beberapa hari, bapa mereka yang bekerja sebagai penebar roti canai telah balik ke Malaysia tetapi kemudian menghilangkan diri tanpa sebarang berita sampai hari ini, katanya.
  
Apabila Nadeera melahirkan anak bongsu, wang belanja mereka pula semakin habis sehinggalah keluarga itu tinggal dalam keadaan yang sangat daif di rumah yang berdindingkan lumpur di Kerala, India, katanya.
 
Walaupun mereka menumpang di rumah ibu Nadeera, tetapi sanak-saudara Nadeera di daerah itu merupakan golongan miskin dan menyebabkan ada anak-anak Nadeera terpaksa bekerja walaupun mereka masih dalam kategori kanak-kanak, katanya.
 
Anak sulung iaitu Mohammad Yusof terpaksa bekerja dan pendapatan beliau sebagai ketua keluarga adalah bersamaan RM10 sehari, katanya.
 
Kakak ipar Nadeera iaitu Rukkiya Ibrahim dan ibu mentuanya, Fatima Abdullah, 68 tahun (ibu kandung Ali Maniam) turut tertanya-tanya keadaan keluarga itu tetapi, Ali sendiri menyepikan diri daripada menghubungi mereka yang masih tinggal di Jelebu, Negeri Sembilan.
 
Selepas memikirkan penganiayaan yang mungkin berlaku ke atas Nadeera dan anak-anaknya, Rukkiya kemudian meminta izin suami untuk membantu adik iparnya itu balik ke Malaysia malahan beliau dan adik-beradik yang lain menghantar wang belanja sebanyak RM500 setiap bulan untuk membantu Nadeera, katanya.

Oleh kerana masalah birokrasi di India, Rukkiya kemudian meminta bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dan perbincangan biro tersebut dengan pihak Imigresen India hampir menemui jalan buntu kerana keluarga tersebut telah melanggar peraturan imigresen disebabkan tinggal melebihi tempoh, kata Khairun.
 
Selepas menimbangkan faktor kemanusiaan, akhirnya kerajaan India melepaskan mereka dan dengan sikap bertimbang rasa Jabatan imigresen Malaysia, ibu dan anak bongsu keluarga tersebut yang bertaraf warganegara India berjaya dibawa pulang.
 
"Saya menyifatkan kejayaan ini sebagai yang paling manis. Ia adalah satu usaha yang sangat sukar tetapi dengan izin Allah, kejayaan ini berlaku. Sekarang kita akan mengusahakan supaya Nadeera dan anak bongsunya mendapat penghidupan yang lebih baik di Malaysia," katanya.
   
Lagi

Comments