Ditemui mati lepas kejar pencuri
JOHOR BAHRU – Hasrat seorang peniaga untuk mengejar pencuri kereta
Honda Civic miliknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjatuh
daripada tingkat 16 Pangsapuri Sri Impian, Larkin Perdana, di sini
semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika Nor Firdaus Abdul
Ghani, 21, cuba mengambil telefon bimbitnya yang tercampak di luar kaki
lima tingkat berkenaan sewaktu mengejar pencuri keretanya. Kereta itu
bagaimanapun dapat dilarikan.
Abang mangsa, Nor Hisham, 37, memberitahu, ketika kejadian, mangsa
yang berasal dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi, sedang bertemu bakal
tunangnya di pangsapuri berkenaan sebelum terdengar enjin kereta
miliknya dihidupkan.
Katanya, sebaik menjengah di luar kaki lima, mangsa yang berniaga di
Kota Tinggi melihat keretanya cuba dilarikan lalu menghubunginya sebelum
bertindak mengejar suspek.
Difahamkan, ketika mengejar suspek, telefon milik Nor Firdaus
terjatuh dan dia dipercayai telah melangkah keluar dari kaki lima
terbabit untuk mendapatkan kembali alat komunikasi itu walaupun cuba
dihalang oleh teman wanitanya.
“Arwah menghubungi saya kira-kira pukul 3.12 pagi bagi meminta tolong
mengejar suspek tetapi sebaik saya tiba kira-kira 15 minit kemudian,
saya diberitahu bahawa adik saya telah terjatuh.
“Saya dimaklumkan, teman wanita adik saya telah cuba menghalang Nor
Firdaus dengan memegang tangan arwah tetapi gagal,” ceritanya ketika
ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah di sini semalam.
Menurut Nor Hisham, arwah amat menyayangi kereta miliknya yang baru diubah suai dengan kos mencecah RM40,000.-kosmo-
Comments
Post a Comment