DUNGUN: Seorang lelaki
terkedu apabila menemui rangka dan tengkorak manusia dipercayai milik
bapanya yang hilang sejak 38 hari lalu di kawasan hutan di belakang
rumahnya di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, di sini, semalam.
Mohd Fauzi Aman, 37, berkata dia dan
abangnya, Azhar, 39, menemui rangka dan tengkorak berkenaan pada jam 9
pagi selepas memasuki kawasan hutan itu yang terletak kira-kira 20 meter
dari rumahnya.
Menurutnya, hatinya tiba-tiba terdetik
memasuki kawasan hutan berpaya di belakang kediamannya itu biarpun dia
sudah beberapa kali memasuki kawasan itu bagi mencari bapa, Aman
Mohamad, 68, yang hilang sejak 16 Ogos lalu.
“Pada malam sebelum penemuan itu, saya
tidak dapat tidur lena kerana teringatkan bapa dan saya berdoa kepada
Allah agar diberikan petunjuk di mana bapa berada.
“Sebaik memasuki kawasan itu, saya dan
abang terjumpa rangka tulang dari paras pinggang ke bawah dan ketika itu
saya diselubungi perasaan sedih hingga menyebabkan saya terduduk
seketika di situ,” katanya.
Menurutnya, tidak puas hati dengan
penemuan cebisan tulang itu, dia dan abangnya terus memeriksa kawasan
sekitar sebelum menemui tengkorak manusia dan beberapa lagi tulang yang
berselerak.
“Saya percaya tulang itu berselerak
akibat dimakan dan dilarikan binatang liar,” katanya yang percaya tulang
dan tengkorak berkenaan milik bapanya.
Mengimbas kehilangan bapanya, Mohd Fauzi
berkata, selepas bersahur pada 16 Ogos lalu, dia dikejutkan isterinya
pada jam 7.45 pagi memaklumkan bapanya tiada di dalam bilik sebelum
bertindak mencari di sekitar kampung.
“Saya mendapati kunci pintu dapur terbuka dari dalam dan mencari bapa sekitar kampung, namun tidak menemuinya,” katanya.
Menurutnya, beberapa penduduk
memberitahu ada menemui seorang lelaki tua berkain pelekat tanpa baju
berjalan di sekitar kampung dan daripada gambaran yang diberikan ia
bertepatan dengan gaya bapanya.
“Bapa memang tinggal bersama saya dan
ada kalanya bersama abang, Azhar membawanya pulang untuk dijaga di
rumahnya di Kemaman. Dia sejak akhir-akhir ini kelihatan banyak terlupa,
namun berdasarkan ingatannya pada kisah lampau, saya percaya dia masih
belum nyanyuk,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, dia sudah puas
berusaha mencari bapanya termasuk ke kampung asal bapanya tinggal
sebelum ini di Kampung Seberang Pintasan, dekat sini, namun usaha itu
menemui jalan buntu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah,
Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima
laporan berhubung penemuan rangka itu dan berkata, pihaknya akan
mendapatkan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu
untuk mengenal pasti identiti rangka berkenaan.
Comments
Post a Comment