KOTA BHARU 24 Mac _ Pengunjung pusat beli-belah KB Mall di
sini, digemparkan dengan tindakan nekad seorang gadis berusia 20 tahun yang
cuba terjun daripada tingkat tiga bangunan tersebut petang ini, dipercayai
akibat tekanan masalah keluarga dan percintaan.
Sebelum itu, gadis yang tinggal di Kampung Gaung dekat sini,
telah menarik perhatian orang ramai selepas memanjat tembok dan berdiri di
birai bangunan berkenaan sambil memegang sebilah pisau dan telefon bimbit.
Sepasukan anggota bomba yang tiba di kawasan itu kira-kira
pukul 3.54 petang, cuba memujuknya hampir sejam tetapi gagal, malah dia enggan
untuk berkomunikasi.
Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu, Shahrin Yusman Mat
Yusof berkata, operasi menyelamat agak sukar kerana dia turut membawa sebilah
pisau sambil mengacu pisau ke leher untuk menikam dirinya sendiri.
"Selepas gagal memujuk, kita memulakan operasi
menyelamat, anggota kita, Mohd. Zaki Ismail berjaya menangkap gadis itu tetapi
dia meronta-ronta untuk terjun sehingga terlepas daripada gengaman dan
terjatuh.
"Tetapi dia bernasib baik kerana jatuh di atas tilam
yang diletakkan oleh anggota kita, pengawal keselamatan KB Mall dan orang
ramai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Gadis yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Wakaf Che
Yeh itu dikatakan hanya mengalami kecederaan di muka kerana bergesel dengan
dinding bangunan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPB II)
untuk rawatan.
Pada 6 Disember 2009, pengunjung pusat membeli-belah
berkenaan digemparkan dengan insiden sebuah kereta terjunam dari aras atas
tempat letak kereta hilang menyebabkan dua sahabat maut manakala dua lagi
parah.
Sementara itu, bapa saudara gadis tersebut, Ahmad Nizam
Awang, 43, berkata, pihaknya tidak mengetahui punca kejadian tersebut tetapi
mengakui anak saudaranya itu mempunyai hubungan yang dingin dengan ibunya.
"Ayahnya meninggal dunia sejak dia bayi lagi dan hanya
tinggal dengan neneknya. Pada masa itu, ibunya tinggal di Melaka dan baru
kembali semula ke negeri ini.
"Dia anak tunggal dan hanya mempunyai adik-beradik
tiri, baru-baru ini dia ada masalah dengan ibunya. Disebabkan itu, dia tinggal
bersama ibu saudaranya selama sebulan sebelum kembali semula ke rumahnya tetapi
saya tidak boleh menolak kemungkinan dia menghadapi masalah percintaan,"
katanya.
-utusan-
Comments
Post a Comment