Daripada: Yang Tertanya-Tanya
Tidak perlu turun padang
untuk menyaksikan kejadian sebenar, kerana teknologi masa kini membolehkan mata
dan telinga kita bergerak seiring dengan mereka yang berada disana. Mungkin
bukan seratus peratus tepat, tapi kebanyakannya “live” dari sana.
Itu juga yang terjadi
kepada perhimpunan Bersih 3.0 kali ini yang diuar-uarkan sebagai bersih dan
aman. Melihat footage rakaman video dari banyak pihak, kita dapat menilai
sendiri bagaimana kemarahan boleh merugikan banyak pihak.
Yang berada di situ
sekalipun sebenarnya tidak begitu jelas dengan keadaan sebenar, apalagi mereka
tidak berada di situ. Jadi, tidak perlu menunding jari menyalahkan satu pihak
sahaja, sedangkan masing-masing ada silapnya sendiri.
Sedar tak sedar,
perhimpunan yang pada mulanya berlangsung dengan aman, tiba-tiba bertukar ganas
dan mula mencederakan ramai orang serta merosakkan harta benda. Entah siapa dan
bagaimana provokasi dimulakan, hanya mereka yang betul-betul berada di tempat
kejadian yang tahu.
Bagaimanapun, saya
tertanya-tanya juga jika benar provokasi itu datang daripada pihak yang menganjurkan
perhimpunan, atau ada duri dalam daging yang menyucuk-nyucuk untuk
memecahbelahkan dan menghapuskan fungsi sebenar perhimpunan.
Bukan mencurigai mana-mana
pihak, tapi telah terbukti di beberapa tempat di dunia perhimpunan sebegini
selalunya bermula dengan baik sebelum ada anasir-anasir luar yang masuk secara
diam-diam untuk memecahbelahkan keadaan.
Di beberapa tempat di
negara Arab, konco-konco Amerika menyelinap masuk, membakar hati-hati muda
belia untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak dapat dilakukan oleh mereka secara
terang-terangan. Kemudian apabila negara tersebut mula berontakan, mereka mula
berpura-pura menawarkan bantuan, sekaligus mencari peluang meletakkan boneka
suruhan mereka untuk mentadbir.
Tanpa sedar, mereka akan
terjajah secara senyap senyap. Andainya perkara yang sama berlaku di sini, kita
juga akan turut terjajah oleh orang luar, sedangkan pejuang-pejuang negara
dahulu kala berusaha keras untuk lari
dari genggaman mereka.
Justeru buat
pejuang-pejuang keadilan yang merasakan mereka cuba menegakkan kebenaran, apa
kata fikir sejenak dahulu sebelum membuat sebarang tindakan, kerana ia mungkin
lebih merosakkan keadaan. Marah itu bisikan syaitan, jadi cuba hindarinya
dengan banyak berselawat.
Comments
Post a Comment