Cikgu, maafkan saya, dan terima kasih banyak-banyak.....

Dulu cikgu cakap, "Awak degil dengan cikgu sekarang, masa depan nanti kalau awk jadi ibu atau guru, anak awak akan berkali ganda lebih nakal lagi." Masa tu aku hanya gelak dalam hati. 'Ye la tu....'

Sekarang bila dah jadi cikgu aku akhirnya faham apa maksud cikgu itu. 'Ooo, macam ni rupanya rasa bila seorang guru bercakap tapi pelajar tak dengar'. 

Nakal-nakal aku dulu, aku tak berani lawan cakap cikgu, cuma mengata dalam hati. Tapi apa yang aku rasa sekarang, memang berkali ganda lebih teruk daripada apa yang cikgu aku pernah rasa. Malah ada yang berani-berani lawan depan-depan. 

Pada semua guru-guruku, maafkan saya jika dulu saya nakal, ada melanggar perintah cikgu, kerja sekolah selalu tak siap, dan jika ada terguris hati guru. Saya sudah terima hukumannya, dan ia memang menyakitkan. 

Maafkan saya. Saya pernah berfikir tidak mahu menjadi seorang guru. Bagi saya kerja guru itu biasa. Lagipun dah ramai dalam keluarga saya yang jadi guru. Jadi saya mahu kerja yang lebih hebat. Sombongnya saya waktu itu. 

Tapi Tuhan itu adil. Apa yang saya tidak mahu, itulah yang saya dapat, dan ia datang dalam kondisi yang lebih berat. 

Dulu saya tak suka BM, dan markah BM saya teruk, tapi sekarang saya guru BM. Dulu saya selalu tidur dalam kelas Sejarah, dan sekarang, saya guru Sejarah. Dulu saya langsung tak suka Geografi (tak pasti bagaimana saya boleh lulus subjek ini), dan sekarang, Geografi juga saya ajar. Saya pernah gagal ekonomi semasa di universiti, tapi sekarang ini subjek paling mudah bagi saya.

Semua subjek yang saya ajar sekarang, adalah subjek yang pernah saya abaikan dulu.

Kesimpulan? Dengan mengajar, kita akan lebih mudah ingat dan faham. 

Kalaulah saya tahu bahawa dengan memberi ilmu kepada orang lain membuatkan kita lebih ingat dan faham, dan saya menggunakan teknik ini dahulu, tentu saya sekarang seorang doktor atau jurutera. 

Tapi itu kehendak Tuhan. DIA mahu saya rasa bagaimana rasanya menjadi seorang guru, hukuman pada saya yang pernah memperlekehkan kerjaya guru. "What you give, you get back". 

Maafkan saya cikgu dan Terima Kasih kerana sudi memberi tunjuk ajar kepada saya sehingga saya menjadi seorang guru juga.

Walaupun kadangkala rasa geram, marah, sakit hati dan kecewa kerana sikap pelajar, saya juga rasa gembira kerana ramai dikalangan mereka yang selalu cuba menghiburkan hati saya dan membuatkan saya gembira. 

Bagi saya, mereka kanak-kanak yang comel, yang perlu dibentuk supaya menjadi manusia berguna. Tentu sedih rasanya jika terpaksa meninggalkan mereka.

Buat semua guru di dunia ini, jadilah seorang guru yang terbaik. Kadang-kadang akan timbul rasa tidak ikhlas apabila kita rasa terpaksa. Namun, jika kita benar-benar cuba mengenali mereka, rasa ikhlas itu akan datang. Setiap mereka ada kisah disebaliknya.

Kepada semua pelajar, jangàn lupa bahawa bumi itu bulat. Jika kamu menyakitkan hati seorang guru, kamu akan mendapat balasan yang lebih teruk bila kamu dewasa kelak. Senakal-nakal mana pun kamu, jangan sekali-kali bersikap kurang ajar dengan guru. Jika seorang guru itu tidak redha dengan ilmunya, hidupmu juga tidak akan diredhai.

Yang benar,
£&£
Bekas Pelajar yang Kini seorang Guru.

Comments