Mertua VS Menantu

Mentua sekarang tidak lagi seperti mertua zaman-zaman dulu. Jika dulu, mertua akan memaksa menantu masak, kemas rumah, sampai kadang- kadang dah masuk kategori mendera. Kini tidak lagi kerana sekarang semuanya sudah terbalik. Mertua pula yang bersusah payah memasak dan kemas rumah manakala menantu goyang kaki sahaja.

Isu menantu malas bukan perkara baru dalam masyarakat masa kini, cuma ia jarang disebut orang. Apatah lagi jika si mertua baik hati orangnya. Nak menyuruh menantu buat itu ini bukan tak boleh, cuma tidak tergamak. Almaklumlah, si menantu dah besar panjang, pelajaran pula tinggi walaupun sekadar jadi suri rumah.

Si menantu pula bukan sahaja tidak menolong, malah boleh pula buat muka seposen dan sekadar jeling- jeling je bila si mertua buat kerja.  Kadang-kadang si menantu buat- buat sibuk dengan anak-anak walhal tak ada apa yang perlu disibukkan. Anehnya, bila makanan dah siap berhidang, boleh pula si menantu buat muka tak tahu malu, duduk bersimpuh sambil melahap makanan yang ada dengan alasan, air tangan ibu memang sedap. Bila dah siap makan, pinggan ditinggalkan bertimbun dalam sinki. Tiada langsung rasa mahu membantu.

Si anak pula bukannya nak menegur si isteri kesayangan, sebaliknya mereka pula yang jadi raja, mengerahkan adik- adik untuk buat itu ini. Maklumlah, dia abang, jadi ada kuasa veto mengarah. Si isteri jadi ratu, manakala adik-adik pula jadi kuli. Alasan, isteri kesayangan sudah penat menjaga anak-anak dan rumahtangga semasa dirumah sendiri.

Alahai si menantu, jika beginilah caranya, lebih baik dapat mertua yang garang. Menantu sebegini sangat padan digandingkan dengan mertua ala-ala Hitler. Silap-silap, daripada tak pandai masak nasi, boleh jadi pakar masakan. Mana tidaknya, mertua yang garang biasanya akan memaksa si menantu belajar memasak bagi mengelakkan anaknya kelaparan.

Wahai menantu, apa salahnya ambil hati mertua sekali sekala pulang ke kampung.Jika penat, anda boleh bekerjasama dengan adik- adik ipar dan mertua memasak secara bergilir-gilir. Kerjanya tak susah sebab anda sudah biasa melakukannya setiap hari, kecuali kuantitinya yang mungkin bertambah. Sekurang-kurangnya anda dapat pahala sebab memasak untuk keluarga. Tiada lagi istilah menantu malas dan mentua pun makin sayang. Jangan sampai mertua bisik- bisik pada si suami supaya cari menantu tambahan pula.

* Artikel ini diambil daripada blogaku.com bertarikh 20 Disember 2013 (Jumaat). Aku bawa ke sini sebab aku akan delete blog tu.


Comments