Adab dengan Guru dan Keberkatan Ilmu

Pagi ini aku ada menonton rancangan  “Tanyalah Ustaz” bertajuk Memburu Keberkata Ilmu. Bila bercakap tentang adab dengan guru dan keberkatan ilmu, aku teringat tentang kisahku dengan seorang guruku, suatu ketika dahulu.

Waktu itu aku baru sahaja memasuki tingkatan 3 dan bakal menduduki PMR. Sebelum guru masuk ke kelas, aku sempat menyelidik terlebih dahulu dengan senior-senior tentang karakter-karakter guru yang bakal mengajarku. Antaranya ialah guru subjek Matematik.

Aku masih ingat nama guru tersebut, tapi tak perlulah aku sebutkan. Orangnya rendah sahaja tetapi dan memiliki misai serta janggut yang tebal, membuatkannya nampak garang. Kata seniorku, beliau seorang yang sangat tegas. Pertama kali memasuki kelasku, guru itu dengan tegasnya menyatakan bahawa beliau tidak akan bertoleransi dengan sikap nakal pelajarnya.

Mendengar kata-katanya yang kurasa tidak bertimbang rasa memandangkan kami belum pun kenal akan satu sama lain, dan mimik mukanya yang langsung tidak mesra membuatkan aku merasa bahawa apa yang mindaku fikirkan(bahawa dia seorang yang garang, kurang mesra dan tidak boleh dibawa berbincang) benar belaka. Jadi perasaan benciku terhadapnya makin bertambah.

Justeru, sejak hari itu, setiap kali beliau memasuki kelasku, aku akan abaikan apa sahaja yang diajarnya. Sikap guru itu sebenarnya tak sama seperti yang kufikirkan. Setiap kali beliau mengajar, beliau akan menyelitkan lawak jenaka dan selalu mengajar dengan teknik yang menarik. Namun dek kerana perasaan benci yang tertanam, aku tidak pernah ketawa walaupun satu kelas sudah gelak  sakan kerana lawaknya. Bukan kerana tidak lucu, tapi kerana aku sengaja mahu menunjukkan kebencianku kepadanya.

Akibatnya, aku mendapat gred E dalam subjek Matematik sedangkan subjek itu adalah subjek yang paling kusukai sebelum ini. Aku pasti perkara tersebut berlaku kerana tiada keberkatan dalam ilmu kerana aku langsung tidak beradab dengan guruku itu. Guru tersebut menyedari perasaan benciku padanya lantas memanggilku secara bersemuka di dalam bilik guru selepas ujian tersebut.

Pada awalnya, beliau dengan lembut bertanya kenapa aku begitu benci kepadanya, sedangkan beliau tidak pernah mengherdik apatah lagi memukulku malah cuba memberi ilmu sebanyak mungkin kepada kami. Beliau turut memohon kemaafan jika pernah terkasar bahasa atau perbuatan yang membuatkan aku merasa marah dan sakit hati padanya.

Waktu itu, aku mula muhasabah diri. Setiap kata-katanya menyentuh hatiku membuatkan aku menangis saat itu. Aku teringat kembali akan setiap perbuatan burukku padanya. Jika diikutkan, dia sebenarnya langsung tidak bersalah, cuma kerana persepsiku yang salah menyebabkan dia kulihat sebagai orang jahat. Justeru aku menceritakan perkara sebenar dan meminta maaf darinya.

Sejak hari itu, persepsiku terhadapnya berubah. Aku mendengar setiap butir-butir ayatnya dan cuba sedaya upaya untuk belajar dengan hati yang gembira. Ujian PMR pula sudah semakin dekat, jadi jika ada perkara yang tidak difahami, aku akan menemuinya dan bertanya. Waktu itu pembelajaran Matematik menjadi makin menyeronokkan dan ilmu yang kudapati bertambah sehingga akhirnya aku berjaya memperolehi A dalam subjek Matematik sewaktu PMR.

Hingga kini aku masih berterima kasih terhadap guru tersebut kerana usaha kerasnya dalam mendidik dan memahami sikap pelajar-pelajar sepertiku demi memastikan kejayaan kami.

Wahai guru, terima kasih kerana kalian sentiasa berusaha sekuat mungkin untuk memberi aku ilmu meskipun ada kalanya aku terlalu nakal dan naif memahami niat baikmu. Terima kasih juga kerana tidak pernah berputus asa meskipun dikau rasa terluka. Maaf jika kalian pernah rasa kecewa dan kecil hati. Aku sebagai pelajarmu sentiasa berdoa agar dikau sentiasa dirahmati oleh-Nya.




Comments