Playboy itu Suami Aku

Selepas mengambilalih tempat drama yang digilai ramai "Love You Mr Arrogant", "Playboy itu Suami Aku" dijangka bakal menarik penonton sekali lagi ke kaca TV pada setiap Isnin- Khamis, bermula jam 7.00 malam di TV3.

Pengarah drama yang turut diadaptasi daripada novel ini ternyata bertindak berani apabila mempertaruhkan pelakon-pelakon baru seperti Nur Risteena(Afina), Fattah Amin(Adrian), Cha Cha Maembong(Afisya), & Jay Iswazir sebagai Nazri. 

SINOPSIS

"Playboy itu suami aku" mengisahkan tentang Afina yang telah dijodohkan dengan Adrian si Playboy selepas ibu Adrian, berkenan melihat sikap Afina yang lemah lembut & baik. Puan Sri Zahida yakin perkahwinan itu akan mengubah sikap Adrian untuk menjadi lelaki yang lebih baik & bertanggungjawab. Beliau berpakat dengan suaminya memaksa Adrian berkahwin dengan Afina jika mahu mewarisi perniagaan keluarga.

Adrian yang terpaksa, berikrar tidak akan jatuh hati kepada gadis biasa seperti Afina dan memaksa Afina berpakat untuk berlakon sebagai pasangan bahagia dihadapan keluarganya. Pelbagai kejadian menimpa termasuk kemalangan yang berlaku disebabkan perasaan tidak puas hati kembar Afina, Afisya yang juga bekas kekasih Adrian yang cemburu dengan perkahwinan mereka.

Mungkinkah akan ada kesudahan yang baik antara Afina & Adrian? Bagaimana pula dengan Risya yang sentiasa cemburukan mereka?

Sebagai peminat drama-drama adaptasi novel tanah air, saya sebenarnya sedikit kecewa dengan drama ini. Baru kali pertama menonton hari ini, saya dapat melihat kelemahan ketara pelakon-pelakon utama, skrip serta plot cerita. Keberanian pengarah & penerbit menggunakan pelakon baru adalah dipuji, namun mereka perlu mengambilkira kesesuaian watak dan keberkesanan lakonan pelakon tersebut terlebih dahulu. 

Lakonan Fattah Amin sebagai Adrian dalam drama ini dilihat masih boleh diperbaiki dan diperkemas. Ada dialog-dialog & mimik muka beliau yang kelihatan janggal & menyebabkan scene tidak menjadi dan janggal. Begitu juga dengan watak-watak sampingan yang lain. Watak Nur Risteena sebagai Afina dilihat lebih menjadi daripada wataknya dalam Diandra, namun masih perlu diperkemaskan lagi. Pelakon utama juga perlu mendalami dan membuat kajian tentang watak mereka untuk lakonan yang lebih berkesan.

Skrip turut memainkan peranan penting dalam menarik minat penonton. Skrip yang catchy, sempoi, dan menarik mampu membuat pelakon ketawa, menangis atau terpegun. Love You Mr Arrogant contohnya, menggunakan dialog yang mungkin agak kasar, namun catchy dan boleh menyebabkan orang tergelak. Dalam drama ini, skrip yang digunakan dilihat agak longgar & tidak menjadi. Gaya Mr Playboy tidak menjadi, dan lebih kepada syok sendiri. 

Menurut seorang teman, jika dia berada ditempat wanita-wanita yang menggilai playboy itu, rasanya dia tidak akan termakan dengan kata-kata manis si playboy, sebaliknya lebih kepada rasa "loya". 

Oleh kerana episod cerita ini baru bermula, saya harap pihak penerbit , pengarah, penulis skrip & pelakon memperbaiki mutu drama ini supaya setanding dengan drama-drama adaptasi novel yang lain bagi meningkatkan rating drama, dan bukannya menarik penonton dengan soalan kuiz semata-mata. 

Maaf jika terasa, tapi saya cuma mahukan yang terbaik buat semua. 



Comments