Terima kasih, sahabat

Dalam kehidupan, akan ada ranjau dan duri yang perlu kita tempuh. Namun, akan ada juga gelak tawa dan keriangan. Disebalik setiap yang berlaku, selalunya ada hikmah dibelakangnya. Jika ada orang yang cuba menjatuhkan kita, yakinlah bahawa akan ada juga orang yang menyokong kita dari belakang. Apa yang perlu dilakukan, ialah menjadi manusia yang sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, tanpa menjatuhkan orang lain.

Sepanjang aku bekerja, banyak pengalaman & pelajaran yang aku perolehi. Zaman persekolahan & zaman bekerja amat jauh berbeza. Sikap manusia tidak banyak berubah ketika belajar, tapi rupa sebenar manusia akan lahir setelah mereka melalui pahit manis ketika di alam pekerjaan. Tiada apa yang mudah, jadi ada sesetengah orang yang mengambil jalan mudah untuk naik ke atas dengan cara menikam orang lain dari belakang.

Aku selalu rasa cemburu dan sakit hati dengan orang-orang seperti ini. Mereka mendapat apa yang dimahukan dengan mudah, hanya sekadar mengipas orang atasan, dan bercakap berapi-api, walhal mereka sendiri tidak faham apa yang mereka cakapkan. Marahnya aku bila mendengar orang lain mengomen-ngomen mengatakan atasan mereka langsung tidak berkaliber, sekadar pandai bercakap.

Jadi aku mula berfikir, "Ah, mungkin aku patut jadi seperti mereka, supaya aku cepat naik ke atas". Malangnya aku tidak pandai "mengipas" apalagi membodek bos-bos besar untuk menyukaiku. Aku juga tiada keberanian  untuk bersuara atau menolak permintaan orang lain. Aku menurut tanpa sebarang bantahan dan seolah-olah merelakan diriku dibuli dengan harapan, suatu hari aku berharap agar aku akan memegang jatawan lebih tinggi supaya aku boleh membuli mereka kelak. 

Aku tahu ramai yang mengataku dibelakang. Mungkin kerana aku terlalu baik, atau mungkin kerana aku terlalu berterus terang. Mungkin juga kerana kebodohanku yangmembiarkan diri dibuli sesuka hati, mungkin juga kerana kelemahanku.Selama ini aku sentiasa berusaha keras untuk muhasabah diri, supaya aku tidak akan menyalahkan orang lain selain diriku sendiri. Kusangkakan, aku sudah cukup muhasabah.Ternyata, tidak sama sekali. 

Untungnya, aku memiliki rakan yang sentiasa memerhati. Dia dengan jujur menceritakan kelemahanku, terus kepadaku tanpa berselindung atau mengata belakang. Kelemahan yang aku sendiri tidak perasan. Malah dia juga turut memberikan nasihat yang cukup baik kepadaku.Katanya, jika kita melakukan kerja yang bagus, kita akan dicari,dan bukan sebaliknya.Jika kerja yang dilakukan betul-betul hebat, orang lain akan merasa sukar jika kehilangan kita. Jadi, jadilah yang terbaik supaya kita akan sentiasa diperlukan. 

Nampaknya aku masih belum cukup berusaha keras. Semoga kerja baru yang bakal kutempoh nanti, membolehkan aku untuk membuktikan kepada orang lain,bahawasanya aku mampu menjadi yang terbaik, mendapat kedudukan terbaik dengan usaha keras, dan bukannya bodekan.  Terima kasih kepada sahabat yang baik, yang membetulkan aku daripada dunia yg terpesong.




Comments