Anda penganggur?



Pernahkah anda berada dalam situasi ini? Belajar tinggi-tinggi hingga ke menara gading, menghabiskan wang berpuluh-puluh ribu untuk yuran dan belanja diri ketika belajar( tidak termasuk pinjaman yang mungkin mencecah 50k), tapi akhirnya kahwin, duduk rumah dan jadi suri rumah sepenuh masa. Sijil & gambar graduasi terpampang didinding buat hiasan mata memandang. Mungkin juga diperap dalam timbunan  kertas-kertas lama atau lebih teruk lagi, dijadikan kertas pelapik periuk nasi di rumah. 

Anda mungkin juga termasuk dalam kategori kedua ni; belajar tinggi-tinggi, tapi gagal mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan anda. Lebih malang, anda bukan setakat tidak memiliki kerjaya yang baik, anda juga seorang "loser" kalau bercakap pasal pasangan. Dalam hati anda bukan main lagi iri hati melihat rakan-rakan lain yang memiliki kerjaya yang baik, mampu membeli kenderaan yang beroda empat, malah mendapat pasangan yang bukan main kacak & berharta. 

Jika anda merasa anda keseorangan, anda sebenarnya silap. Di Malaysia sahaja, kadar pengangguran dianggarkan melebihi 3 peratus, atau lebih daripada 400,000 orang. Itu adalah statistik yang dapat dikesan. Bagaimana pula dengan mereka-mereka yang berputus asa untuk mencari pekerjaan dan mengambil keputusan menjadi penganggur terhormat? 

Sebenarnya, pekerjaan yang ditawarkan bukannya sedikit. Malangnya, kebanyakannya bukan pekerjaan professional yang memerlukan ijazah, sebaliknya lebih bergantung kepada skil dan kerja keras. Memikirkan penat lelah belajar, kebanyakan siswazah ini tentunya tidak mahu memilih kerja yang berat & bergaji kecil itu. Kalau ada sekalipun, mereka hanya menjadikan kerja itu sebagai loncatan sebelum mendapat kerja yang lebih tinggi gajinya. Pada akhirnya, majikan menjadi keberatan untuk menawarkan kerja-kerja tersebut kepada siswazah, sebaliknya memilih pekerja asing yang lebih rajin, lebih setia & lebih murah bayarannya.

Siswazah yang baru tamat belajar menjadi makin tersepit apabila kerajaan membuat keputusan memanjangkan umur persaraan pekerja daripada 58 tahun kepada 60 tahun sedangkan kuota kerja yang ada telah dihadkan. Contohnya, kuota kerja kerajaan ditetapkan kepada 1.2juta, jadi keputusan menanjangkan umur persaraan sebenarnya memanjangkan barisan penganggur-penganggur muda yang terhormat. Ia seolah-olah menidakkan hak mereka untuk menjejakkan kaki ke alam pekerjaan memandangkan golongan-golongan veteren ini enggan melepaskan kelebihan yang diperolehi sepanjang  mereka bekerja.

Persoalannya kini, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Pihak kerajaan yang memanjangkan umur persaraan, atau  siswa-siswa kita yang tidak cukup berusaha keras untuk mencari pekerjaan. Mungkin juga kita boleh menunding jari kepada pihak-pihak pengurusan yang pilih kasih, mementingkan hubungan lebih dari kredibiliti. Walau siapapun yang salah, kerja tak akan datang bergolek jika kita tak mencarinya. Jadi, berusaha dan bertawakkallah kerana janji Allah itu pasti.





Comments