Kontroversi Tema Hari Kemerdekaan


Buat pertama kali dalam sejarah negara, sambutan Hari Kemerdekaan yang sepatutnya menyatukan seluruh rakyat Malaysia dikatakan bakal menyebabkan pertelingkahan antara rakyat Malaysia. Ini semua gara-gara kontroversi tema Hari Kebangsaan yang dikaitkan dengan unsur-unsur politik. Pakatan Rakyat tidak menerima tema Kemerdekaan ke-55 tahun yang disarankan oleh pihak kerajaan kerana ia disifatkan berbaur politik, sekaligus mencadangkan beberapa tema baru, namun ditolak oleh kerajaan.

Sejak 1970, tema kemerdekaan yang digunakan tidak pernah mendapat bantahan daripada mana-mana pihak dan ia dijadikan pembakar semangat supaya rakyat lebih bersatu. Perkataan masyarakat, perpaduan, disiplin, dan bersatu, antara yang paling kerap digunakan untuk menekankan kesepakatan antara rakyat. Manakala perkataan wawasan dan transformasi menunjukkan hasrat negara untuk mencapai status maju.

Tema “Sebangsa, Sejiwa, Senegara”, “55 Tahun Kemerdekaan Menerajui Perubahan”, dan “Terus Berbakti”, adalah antara tema yang dikatakan bakal digunakan di tiga negeri di bawah pemerintahan pembangkang iaitu Selangor, Kelantan dan Kedah. Ia membayangkan bahawa pembangkang akan terus mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan, namun mengikut tema negeri masing-masing. Justeru timbul persoalan samaada rakyat boleh bersatu di bawah satu panji negara sedangkan mereka kini terbahagi kerana tema Hari Kebangsaan yang dipolitikkan.

Sejarawah negara, Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman berkata, negara pernah menyambut Hari Kemerdekaan selama 13 tahun tanpa tema dan logo, namun semangat patriotik yang ditunjukkan adalah jauh lebih baik daripada sekarang.

“Isu tema kemerdekaan tahun ini sememangnya yang paling hebat pernah berlaku sepanjang 55 tahun kita merdeka. Negara pernah menyambut kemerdekaan tanpa tema dan logo, namun sambutannya jauh lebih patriotik dari sekarang.

“Kenangan sambutan kemerdekaan dahulu masih terpahat dihati, dan ketika itu, politik bukan satu penghalang perpaduan,"beliau berkata.

Beliau mencadangkan supaya  musyawarah diadakan dalam menentukan sesuatu tema kemerdekaan sebelum dikemukakan kepada rakyat, supaya isu sebegitu tidak timbul lagi di kemudian hari.

“Tema dan logo yang dikeluarkan telah diputuskan bergantung kepada pihak berkuasa. Walaupun begitu, saya berpendapat bahawa sepatutnya ada musyawarah antara semua pihak bagi mencari kesesuaian tema kerana isu ini melibatkan semua rakyat, bukannya satu pihak sahaja.

“Kemasukan unsur-unsur politik dalam pemilihan tema kemerdekaan menunjukkan tema sekalipun boleh menjadi satu punca perpecahan. Apabila tema Hari Kebangsaan dipolitikkan, inilah yang akan berlaku,”ujar beliau.

Beliau bagaimanapun meminta rakyat Malaysia supaya tidak berpecah dan berpegang kepada jalur gemilang sebagai lambang kedaulatan negara ketika sambutan Hari Kemerdekaan.

“Tema mungkin satu aspek penting dalam sambutan kemerdekaan, tapi ia tidak dapat mengatasi kepentingan jalur gemilang yang menjadi lambang kedaulatan negara sejak sekian lama.

“Setiap tahun ketika Hari Kemerdekaan, jalur gemilang akan dikibarkan untuk menunjukkan bahawa negara kita telah bebas daripada penjajahan. Justeru, kita harus berbangga dengan jalur gemilang yang kita ada,”ujar beliau.

Menurut ahli akademik, Datuk Prof. Dr. Hjh. Ramlah Adam, isu tema kemerdekaan yang dipolitikkan boleh menyebabkan kesan buruk terhadap kesepaduan dan semangat patriotik negara.

“Persoalan ini berkait dengan tema kebangsaan. Jadi walau apa perbezaan politik atau pemerintah sekalipun, sepatutnya masalah tema tidak timbul kerana kita bercakap soal negara.

“Ini soal kemerdekaan kita. Kemerdekaan negara bermakna ini soal kebangsaan. Bila fikirkan sebagai negara, kita mestilah bersatu kerana rakyat dalam tiap-tiap negeri adalah warganegara Malaysia.”

Beliau berkata, isu slogan adalah hak mutlak Kerajaan Persekutuan, jadi setiap pihak sepatutnya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia melahirkan sesuatu slogan-slogan atau apa-apa dasar kerana itu hak Kerajaan Persekutuan sebagai sebagai pemerintah Malaysia.

“Walaupun kerajaan yang memerintah adalah parti yang berasingan, tetapi kita tidak boleh menolak keputusan kerajaan kerana ia melibatkan persekutuan. Kalau kerajaan Persekutuan dah cadangkan atau umumkan apa-apa sebelum ini, negeri-negeri lain sepatutnya mengikut sebab mereka adalah anggota persekutuan Malaysia.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kebangkitan semangat antikebangsaan yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang.

“Maksud anti kebangsaan bagi saya ialah anti patriotik. Kemerdekaan berkait rapat dengan soal kebangsaan dan semangat patriotisme negara. Bila bercakap pasal patriotisme, ia menunjukkan perasaan sayang dan cinta kita kepada negara.

“Kalau kita lebih mementingkan slogan masing-masing, maknanya kita mementingkan negeri masing-masing dan bukannya memikirkan tentang Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang kita duduk di dalamnya. Ini akan menghasilkan keadaan berpecah belah pada masa depan.”katanya.

Katanya lagi, semangat kenegerian yang menebal mungkin melahirkan pemisahan antara negeri dalam Malaysia.

Isu ini juga akan mendorong pemisahan seperti mana yang berlaku kepada Pulau Pinang pada tahun 1948, apabila mereka menolak penyatuan dengan negeri-negeri lain untuk membentuk Negeri Melayu Bersekutu. Justeru, timbul pemisahan antara negeri lain dengan Pulau Pinang.

“Kalau negeri tu cuba memisahkan sambutan mereka dengan Kerajaan Persekutuan, ia akan melahirkan semangat kenegerian yang tebal, menghancurkan perpaduan rakyat dengan negeri lain, sekaligus menyebabkan pemisahan negeri,”katanya lagi.


Comments