Taktik terbongkar!


PUCHONG - Taktik pemaju menggunakan meter penyamaran untuk mengaburi tindakannya menyambung air secara haram terbongkar dan berjaya dikesan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, satu serbuan dilakukan ke atas penyambungan bekalan air haram di kawasan projek perumahan berdekatan Bandar Puchong Lestari, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan curi air hasil aduan dan maklumat orang awam serta risikan yang dilakukan.

"Kita dapati terdapat sambungan paip tidak sah dilakukan pihak pemaju di kawasan perumahan tersebut.

“Tapak itu adalah kawasan pembinaan rumah pangsa kos rendah lima tingkat dan rumah kedai merangkumi lima blok bangunan menempatkan 360 unit kediaman terbengkalai sebelum ini namun disambung pembinaannya sejak 2011," katanya selepas serbuan sambungan haram di sebuah tapak projek perumahan, di sini semalam.

Beliau berkata, terdapat sebuah meter sah atas nama pemaju di kawasan tersebut namun ia hanya membekalkan air ke kawasan perumahan lain berhampiran.

Katanya, tapak projek perumahan itu tiada meter air dan hasil semakan mendapati tiada rekod pendaftaran akaun bekalan air dengan Syabas, malah terdapat lebih lima keluarga menghuni di rumah kongsi di situ.

Menurutnya, disebabkan penyambungan terus daripada paip utama, Syabas menganggarkan kerugian air terawat digunakan secara tidak sah ialah sebanyak RM382,546.

“Ini serbuan keempat untuk tahun ini dan dari 2009 hingga sekarang, lebih 77 kes serupa dibawa ke mahkamah dan sebahagian mendapat keputusan manakala selebihnya masih berjalan,” katanya.

Abdul Halem berkata, Syabas memotong penyambungan haram itu dan akan membuat tuntutan sivil bagi kerugian dialami manakala Span akan membuat pendakwaan di mahkamah.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan turut dikenakan tuntutan sivil.

“Dari 2009 hingga sekarang, lebih RM2.3 juta tuntutan sivil dibuat oleh Syabas kepada pihak mencuri air,” katanya.-sinar harian-

Comments