Sejarah Olimpik

MENGIKUT legenda, Sukan Olimpik purba mula diperkenalkan oleh Hercules, anak kepada Zeus dari zaman Yunani. 

Sejarah menyebut Sukan Olimpik pertama kali diadakan pada tahun 776 sebelum Masihi, walaupun ramai yang mempercayai tarikh sebenar bila temasya itu dilangsungkan berlaku lebih awal daripada umum mengetahuinya.

Mengikut catatan, Coroebus, seorang pelari yang mengambil bahagian dalam temasya itu telah memenangi acara lari 192 meter, sekali gus menjadikannya sebagai juara pertama dalam sejarah Olimpik.

Tahun silih berganti, Sukan Olimpik purba terus berkembang dan mula diperkenalkan dalam empat tahun sekali untuk selama 1,200 tahun. Bagaimanapun, pada tahun 393 selepas Masihi, kerajaan empayar Yunani yang diperintah oleh Maharaja Theodosius 1, seorang yang berfahaman kristian mengharamkan sukan itu yang dikatakan menjadi festival bagi orang tidak beragama (pagan).

Titik-tolak daripada tindakan Maharaja Theodosius, Sukan Olimpik terhenti selama ribuan tahun sehinggalah ia diadakan semula pada abad ke-19 oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin.

Coubertin dilahirkan pada tahun 1863. Dia hanya berusia tujuh tahun ketika Perancis di bawah penaklukan Jerman dalam perang Franco-Prusia pada 1870.

Ada pandangan yang mengatakan, Coubertin menyumbang kepada kemenangan Perancis dalam peperangan itu selepas mendapati faktor kekalahan Perancis pada awalnya adalah disebabkan askarnya yang lesu.

Selepas beberapa tahun dengan melakukan kajian dan pemerhatian, Coubertin membuat kesimpulan bahawa faktor keletihan askar Perancis dalam peperangan itu adalah disebabkan kurangnya masa bersukan.

Minat Coubertin bukan sekadar memulihkan semangat askar Perancis tetapi lebih daripada itu. Dia kemudiannya menubuhkan sebuah organisasi sukan USFSA untuk tujuan itu. Dua tahun kemudian Coubertin mencadangkan agar Sukan Olimpik diadakan semula dan pada tahun 1892, USFSA mengadakan konvensyen pertamanya di Paris.

Pada perjumpaan itu, suaranya tidak diendahkan sehinggalah dua tahun kemudiannya apabila Coubertin menganjurkan pertemuan 79 delegasi daripada sembilan negara yang akhirnya membentuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Wakil Greece, Demetrious Vikelas telah dipilih sebagai presiden yang pertama manakala Athens sebagai tempat untuk mengembalikan semula Sukan Olimpik dan pusat pentadbirannya.

Sukan Olimpik pertama dibuka pada April 1896 dengan memilih Stadium Panathenaic yang asalnya dibina pada tahun 330 selepas Masihi sebagai venue pertama. 


Lima cecincin Olimpik ini direka bentuk pada tahun 1913, dan diguna buat pertama kali dalam Olimpik Musim Panas 1920 di Antwerp. Pada tahun 2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan di tempat asalnya di Athens, Greece.

Comments