Peringatan Najib kepada Anwar


KUALA LUMPUR 8 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pemimpin yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia mesti bebas daripada dibelenggu masalah moral.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pemimpin tersebut juga harus mempunyai kekuatan moral untuk membela diri tanpa menuding jari menyalahkan pihak lain.

Jelas beliau, tindakan menuding jari kepada pihak lain adalah cubaan menutup kelemahan diri sendiri sedangkan pelbagai isu yang dikaitkan dengan masalah moral belum terjawab.

Tanpa menamakan pemimpin dimaksudkan, beliau berkata, sehingga kini rakyat tertanya-tanya mengenai kehilangan jam tangan Omega seorang pemimpin pembangkang dalam isu video seks.

"Sikit-sikit salah Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Jangan tuduh orang lain atas kerendahan moral kita, bela dan bersihkan diri dulu sebelum bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.

"Saya tidak mahu ulas panjang tapi isu ini belum selesai, isu jam Omega rakyat masih tertanya-tanya," katanya di hadapan 50,000 pengunjung Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Selangor di Bangi hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan isu video seks yang disahkan 99.9 peratus tulen, sehingga kini masih gagal menjelaskan misteri kehilangan jam Omega.

Beliau juga tidak berani mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas trio 'Datuk T' walaupun Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuaib Lazim terbabit secara terbuka mencabar Anwar menyaman mereka.-utusan-

Comments