Mati sebab laga bahu?

BAGAN SERAI - Tindakan seorang buruh ladang berlaga bahu dengan seorang pemuda ketika berlangsungnya upacara sembahyang di Tokong Sri Maha Mariamman, Ladang Chersonese, di sini membawa padah apabila mangsa dibelasah sehingga mati oleh sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam 29 Jun lalu, mangsa, T Eharajoo, 34, yang berasal dari Ladang Chersonese dikatakan berselisih faham dengan salah seorang suspek kerana didakwa cuba mencetus pergaduhan ketika upacara sembahyang berlangsung.

Menurutnya, perselisihan faham itu membawa kepada pertikaman lidah sebelum mangsa bersama adik lelakinya dibelasah dan dipukul dengan benda keras oleh 15 pemuda di hadapan Dewan Ladang Chersonese, Jalan Siakap, Kuala Kurau ketika pulang ke rumah.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka serta meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Taiping.

“Manakala adik mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka. Bagaimanapun, polis difahamkan, keadaan adik mangsa stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radwan Bachik.

Mat Fauzi berkata, berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi menjejak semua suspek dan 13 pemuda berusia lingkungan 20-an, ditahan di Parit Buntar dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan kes terbabit.
-sinar harian-

Comments