Masa depan kampung tanjung

MASIH adakah lagi masa depan untuk perkampungan Melayu di Tanjung (Pulau Pinang bahagian pulau)? Macam-macam cerita yang kita dengar mengenai nasib orang Melayu di Tanjung sejak akhir-akhir ini. Kebanyakannya meresahkan dan membimbangkan kita.

Pertama kali saya menjejakkan kaki di pulau ini adalah di akhir tahun 1950-an. Masa itu masih banyak lagi kampung Melayu di pulau itu, baik di sebelah utara (dari Tanjung Tokong hingga ke Teluk Bahang) atau di sebelah selatan (Batu Maung, Bayan Lepas, Teluk Kumbar). Cerita tentang kehilangan dan kemusnahan kampung Melayu pada masa itu belum terdengar lagi.

Kini segala-galanya telah berubah. Yang sering kita dengar sekarang adalah kepupusan kampung-kampung Melayu ini. Satu dua dekad lalu, masih ada di kalangan sahabat yang berkata semua ini hanyalah andaian dan ‘cakap-cakap politik’ belaka, permainan biasa di kalangan ahli parti politik untuk melemparkan tuduhan antara satu sama lain. Kini, kesangsian dan keraguan sedemikian lenyap sudah.

Hakikatnya, yang tidak boleh dinafikan lagi, satu demi satu kampung Melayu di pulau itu hilang dari pandangan mata. Kampung Melayu Tanjung Tokong sekarang (setakat yang masih ada) jauh beza daripada apa yang saya lihat di akhir tahun 1950-an.

Pada Mei lalu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman khabarnya marah dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, yang mendakwa 50 kampung Melayu di pulau itu akan pupus tak lama lagi, dikorbankan atas nama pembangunan.

Mempertikai kenyataan tokoh politik itu sebagai tidak berasas, Mansor juga menafikan dakwaan Zainal bahawa 18,000 orang Melayu telah meninggalkan pulau itu antara 2009 and 2010 disebabkan mereka tidak mampu lagi membeli rumah di pulau yang kini terlalu mahal.

Mansor sebaliknya menegaskan kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk memelihara beberapa Kampung Melayu dan kampung baru (Cina) sebagai ‘kampung tradisi’ di bawah Rancangan Struktur Negeri 2020 - termasuklah antaranya Kampung Seronok, Kampung Sungai Rusa, Kampung Titi Teras, Kampung Pondok Upeh, Kampung Permatang Tepi Laut, Kampung Genting dan Kampung Terang.

Saya tidak pasti apakah dakwaan Mansor ini satu realiti atau sekadar satu pernyataan harapan belaka.

Pada Jun lalu, laman sesawang www.freemalaysiatoday.com memetik Mujahid Yusof Rawa, seorang tokoh Pas di pulau itu, sebagai berkata ada kira-kira 55 kampung di negeri itu yang telah dikenal pasti terbabit dalam pembangunan, dan bila ini berlaku nanti satu ‘ledakan setinggan’ akan muncul.

Mujahid menyalahkan kerajaan negeri (pimpinan Gerakan) kerana cuai dan gagal menjaga kebajikan penduduk kampung ini, walaupun setelah merintah lebih 50 tahun. Katanya lagi, kira-kira 7,000 keluarga dalam lima daerah akan kehilangan rumah kediaman, menyebabkan lebih 35,000 orang, kebanyakannya orang Melayu, menjadi setinggan.

Persoalannya, setelah hampir lima tahun kerajaan pimpinan Lim Guan Eng mengambil alih pentadbiran negeri, apakah nasib 55 kampung Melayu yang diakui Mujahid sebagai ‘berada dalam bahaya’ kini menjadi lebih cerah dan baik atau lebih teruk dan buruk lagi?

Pada awal Julai 2012 lalu, penduduk Kampung Genting berhimpun di hadapan Masjid Jamek kampung mereka untuk menzahirkan bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri mengambil tanah mereka secara paksa (di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960) bagi tujuan membina Asian Women Leadership University (AWLU).

Khabarnya penduduk kampung itu tidak menentang rancangan kerajaan negeri menjadikan Balik Pulau sebagai hab pendidikan, tetapi kenapa ambil tanah kampung mereka manakala tanah lapang masih ada di sekitar kawasan itu untuk dijadikan tapak AWLU? Tidakkah ini menunjukkan ada mala fide dalam pengambilan tanah?

Mengikut ADUN Pulau Betong, Mohd Farid Saad, AWLU (yang akan ditadbir oleh Smith College dari Amerika Syarikat) belum pun lagi mendapatkan kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi. Tidakkah tindakan pengambilan terburu-buru ini menguatkan lagi andaian wujudnya mala fide dalam pengambilan tanah?

Selain Kampung Genting, satu lagi perkampungan Melayu paling tertua di pulau itu iaituKampung Batu Uban yang mungkin satu hari nanti hilang dari pandangan.

Berusia kira-kira 300 tahun, Batu Uban merupakan tempat pertama Islam tiba di negara kita. Batu Uban juga menjadi tempat persinggahan kapal yang berulang alik menerusi Selat Melaka dan Lautan Hindi.

Satu lagi kampung Melayu yang sama usia dengan Kampung Batu Uban ialah Kampung Tanjung Tokong, yang kini sudah pun hampir melebihi tiga suku pupus dimakan arus pembangunan.

Setelah kerja tambak laut dijalankan sejak satu dekad yang lalu, kampung ini sudah tidak ada pantainya lagi. Usaha yang telah diambil oleh pelbagai pihak untuk memulihara dan mengekalkan kampung itu sebagai satu kampung warisan terus gagal mendapat sokongan, bukan hanya daripada kerajaan negeri bahkan Kerajaan Pusat.-utusan-

Comments