Kontroversi Unisel: PKR sifatkan dakwaan Noh tidak relevan


SHAH ALAM - Dakwaan mengaitkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mempolitikkan isu Universiti Selangor (Unisel) adalah tidak relevan.

Ketua Penerangan PKR  Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, isu tersebut telah dimanipulasi Umno memandangkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) wajar didedahkan dengan aspek politik.

“Silibus pendidikan tinggi juga terkandung subjek Sains Politik. Oleh yang demikian, ahli politik sebagai ahli lembaga pengarah di institusi pengajian tinggi memang wajar, kerana memberi pendedahan awal kepada politik.
“Berbeza dengan pentadbiran Kerajaan Negeri ini, yang tidak mempolitikkan empat bidang utama iaitu kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Janice Lee berkata, pelantikan ahli politik bersesuaian dengan kelayakan dan mempunyai latar belakang pendidikan serta berupaya memberi khidmat nasihat dalam bidang tersebut kepada pihak universiti.
“Bukannya kita lantik mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyandang jawatan tertinggi di universiti, pelantikan dijalankan secara profesional dan tidak harus dipertikaikan,” katanya.
Namun begitu, Janice berkata, tidak adil jika beliau (Noh Omar) mengaitkan bilangan pelajar di Unisel dengan reputasi timbalan naib canselor (TNC), kerana dalam aspek pengiktirafan pendidikan, soal kualiti lebih diutamakan berbanding kuantiti.
-sinar harian-

Comments