Jual organ secara haram mudaratkan kesihatan



Ketika negara sedang sibuk mempromosikan kempen derma organ bagi menyelamatkan nyawa, pendedahan tentang isu jual beli organ secara haram yang dikatakan turut berlaku di Malaysia ternyata mengejutkan banyak pihak.  Isu ini mungkin biasa kita dengar di negara-negara miskin dan melarat di dunia, namun jika ia benar-benar berlaku di negara ini, sesuatu harus dilakukan segera.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa satu penyiasatan antarabangsa telah menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang disiasat oleh polis Bangladesh membabitkan sindiket berkait isu jual beli organ secara haram. Malah, mereka turut mengaitkan hospital terkemuka yang mempunyai cawangan di Malaysia dalam senarai hospital yang terlibat. 

Pihak polis serta Kementerian Kesihatan Negara bagaimanapun telah bertindak menyiasat aduan tersebut dan mendapati bahawa ia tidak benar dan tiada bukti kukuh menunjukkan bahawa Malaysia terlibat dalam isu ini. Sehubungan itu, pihak PDRM menasihatkan mana-mana media supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sesuatu berita sebelum ia disahkan benar.

Pendermaan organ dianggap satu tindakan mulia kerana ia boleh menyelamatkan nyawa orang lain ketika keadaan mendesak. Bagaimanapun, penjualan organ dalam pasaran gelap dianggap sebagai satu tindakan yang mencabul undang-undang kemanusiaan dan diharamkan dalam agama kerana mereka yang terlibat biasanya mempergunakan penderma demi mengaut keuntungan, tanpa mengambil kira risiko yang ditanggung oleh penderma.

Peniaga organ secara haram biasanya mempunyai “orang dalam” dalam sindiket pasaran gelap yang membolehkan mereka menjual organ tersebut dengan harga tinggi. Lebih mengejutkan, ramai antara mereka yang terlibat memiliki kepakaran dalam bidang perubatan dan memiliki kelayakan di atas meja bedah, namun menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Justeru, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa pemindahan organ adalah harus dan dibolehkan dalam keadaan tertentu sahaja.

“Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, atas syarat-syarat tertentu:


 a) Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya. 


b) Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.


c) Tindakan telah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya serta 


d) Memperolehi kebenaran daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga di dalam kematian akibat kemalangan.”

Ini bukan kali pertama isu tersebut dikemukakan media kepada Malaysia. Sebelum ini, satu demonstrasi telah diadakan di kedutaan besar Malaysia di Jakarta ekoran rasa tidak puas hati kononnya pihak berkuasa Malaysia 'mencuri' organ tiga rakyat republik ini yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac lalu. Isu tersebut berlarutan walaupun pemerintah (Indonesia) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mencuri organ rakyat negara itu.

Isu penjualan organ secara haram mungkin dianggap sebagai perkara biasa di beberapa negara di dunia. Namun ia dianggap sebagai satu jenayah di Malaysia kerana pemindahan organ perlu dilakukan secara teliti dan mengikut prosedur tertentu bagi mengelakkan sebarang kematian.  Justeru, isu ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan nyawa manusia. 

Dengan hanya sejumlah wang, sesetengah manusia sanggup menggadaikan nyawa dan keselamatan diri. Tanpa sedar, mereka sebenarnya dijadikan alat untuk mengaut keuntungan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kesedaran harus diterap dalam masyarakat tentang isu jual beli organ secara haram ini agar tiada lagi yang menjadi mangsa. Anda boleh menderma organ, namun gunakan cara yang sah demi kesihatan berpanjangan.

Comments