Hukuman dadah akan dikaji semula


Kuala Lumpur: Kerajaan mengkaji untuk mengikut langkah Singapura yang bercadang menggugurkan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah supaya hakim boleh menentukan jenis hukuman berdasarkan kerjasama tertuduh. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V K Liew, berkata kajian mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengenal pasti impak dalam mengurangkan kes berkaitan dadah dan kesannya kepada masyarakat. 

Bagaimana pun, jelas beliau kajian itu tidak membabitkan kes jenayah berat, termasuk pembunuhan terutama membabitkan mangsa kanak-kanak. Ini kerana, kata beliau mereka yang membunuh perlu dikenakan hukuman sama kecuali yang mengalami gangguan mental. 
 
“Kajian ini mengambil masa sedikit kerana kita perlu mengetahui pemansuhan hukuman gantung sampai mati sesuai atau tidak dilaksanakan di negara ini dan kesannya kepada masyarakat. 

“Adakah ia berkesan dalam menangani kes pengedaran dadah. Semua ini perlu dikaji teliti sebelum dilaksana, namun kita bersedia mempertimbangkannya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.-bharian-

Comments