Calon “Winnable” untuk PRU-13: Apa pendapat anda?


Menjadi penghormatan apabila dipilih menjadi calon, namun sikap dan tanggungjawab yang ada, perlulah digerakkan seiring dengan perhormatan tersebut agar ia tidak sia-sia.  Setiap calon yang dipilih biasanya ada kelebihan masing-masing. Kredibiliti, identiti dan prestasi antara perkara yang dipegang ketika memilih seseorang calon.

Justeru, hanya yang benar-benar berkelayakan sahaja yang mampu dipilih daripada ribuan calon yang ada di luar sana.

Pelajar jurusan Bahasa di UiTM Shah Alam, Farah Ismail berkata pengundi muda biasanya tidak meletakkan pangkat atau usia sebagai batu pengukur sebagai calon terbaik untuk mereka.

“Apa yang penting, calon tersebut perlu cukup memahami kehendak masyarakat dan mampu menyelesaikan masalah penduduk setempat. Tua atau muda bukan persoalannya, yang penting kemampuan.”

Golongan muda masa kini dikatakan cukup agresif jika berbicara soal politik. Seiring dengan darah muda yang dimiliki, mereka ghairah menyuarakan pendapat meskipun masih jagung dan mentah. Mereka juga memiliki kelebihan dari segi teknologi, dimana golongan muda lebih banyak terdedah kepada maklumat tanpa batasan bersumberkan media baru.

“Jika dulu, golongan muda biasanya kurang mengambil tahu akan isu politik, tapi dengan adanya media baru, mereka lebih cepat mendapat maklumat daripada orang lain. Fikiran mereka juga lebih terbuka dalam menerima sebarang maklumat.”

Zarina Ibrahim, pelajar tahun 1 jurusan Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media menyifatkan pilihanraya sebagai satu cara mengekspresikan pendapat rakyat.

“Pilihanraya adalah hak rakyat untuk memilih. Terpulang kepada mereka siapa yang akan mereka pilih. Tapi pada saya, calon yang memiliki peluang terbaik untuk menang ialah mereka yang sanggup turun padang, bersemuka dengan masyarakat dan mengetahui masalah mereka. Calon tersebut perlu cukup mesra rakyat, dan tidak kisah “mengotorkan” kaki demi kepentingan rakyat.”

Calon bukan sahaja dinilai daripada pemerhatian luar, namun mereka juga perlu kreatif dalam menyampaikan makluman.

“Tidak perlu terlalu banyak bicara untuk menarik perhatian rakyat, mereka hanya perlu bercakap secara ringkas, tapi mendalam. Terlalu banyak cakap juga boleh memudaratkan.”

"Bagi saya, calon yang memiliki peluang terbaik untuk menang, ialah calon yang memiliki kredibiliti yang tinggi. Mereka biasanya dikenali masyarakat, namun tidak terjebak dalam mana-mana skandal yang boleh merosakkan nama parti. Rekod mereka sentiasa bersih dan mereka haruslah seseorang yang disegani masyarakat setempat. Dengan kredibiliti tersebut, rakyat akan mempercayai mereka."

Comments