Bajet 2013 : Pemilikan rumah jadi keutamaan


KUALA LUMPUR: Ajakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat Malaysia mengemukakan cadangan serta idea yang bernas bagi Bajet 2013 dilihat mendapat sambutan hangat daripada semua, apabila lebih 500 cadangan telah dikemukakan sejak semalam.

Masalah pemilikan rumah adalah antara yang paling menyerlah dalam cadangan bagi bajet 2013. Harga rumah di kawasan bandar dilihat begitu tinggi sehingga membebankan penduduk bandar yang kebanyakannya berpendapatan sederhana atau pekerja swasta yang sukar mendapatkan pinjaman dari bank.

Justeru, ada yang mencadangkan supaya harga rumah diselaraskan kepada satu harga tetap yang tidak terlalu tinggi dan membebankan pembeli. Mereka juga meminta agar kajian dibuat secara mendalam bagi mendapatkan harga yang terbaik untuk jenis-jenis rumah yang ditawarkan.

"Kerajaan harus mengawal harga rumah dan mengkaji cara untuk menurunkannya bagi perumahan di kawasan bandar kerana harga terlalu tinggi dan ia tidak mampu dimiliki berpendapatan sederhana."ujar Nor Syarina Abdul Rahman, 24.

Selain harga yang tinggi, rakyat juga terpaksa berhadapan dengan karenah birokrasi dalam pinjaman untuk pembelian rumah, di mana syarat-syarat yang ditetapkan menyebabkan mereka terpaksa melupakan hasrat  untuk membeli rumah.

“Terlalu banyak dokumen dan syarat yang perlu dipatuhi. Jika syarat tidak mencukupi, kami tidak akan layak untuk memohon. Kerajaan seharusnya melonggarkan sedikit syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jika tidak, orang berpendapatan sederhana seperti kami tidak akan mampu memiliki rumah,”ujar Mohd Suhairie, seorang pekerja bahagian perkhidmatan di syarikat swasta.   

Cadangan supaya harga rumah dan syarat gaji diselaraskan dilihat boleh membantu penduduk memiliki rumah mengikut kemampuan mereka. Mereka tidak perlu rasa terbeban untuk memiliki rumah jika ia selaras dan mengikut kemampuan. Contohnya, perumahan kos rendah iaitu RM42 ribu untuk pendapatan isi rumah kurang RM2 ribu.

Antara yang menjadi punca harga yang terlalu tinggi ialah kos tersembunyi ketika pembinaan, harga hartanah, dan penglibatan orang tengah dalam urusan jualbeli rumah.

Kos tersembunyi membina rumah kos rendah mungkin dipindahkan kepada pembeli rumah, menjadikan rumah biasa lebih mahal. Ini tidak adil buat pembeli rumah memandangkan mereka terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya. Justeru, pemantauan harus dibuat supaya pihak pemaju tidak mengambil keuntungan secara senyap-senyap.

Harga hartanah di bandar-bandar terutamanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur biasanya lebih mahal daripada harga tanah luar bandar. Secara tidak langsung, ia dilihat akan mempengaruhi harga rumah menjadikan ia lebih mahal meskipun jenis rumah tersebut boleh diperolehi dengan harga lebih murah di kawasan lain.

"Kerajaan perlu serius menubuhkan mekanisme untuk mengawal harga hartanah yang telah melambung di luar kawalan kerana dibeli oleh spekulator dan pembeli asing sebagai pelaburan yang menggalakkan pemaju untuk membina rumah untuk mereka dan bukannya penduduk tempatan,"saran Mafliza Mahadi.

Hartanah tersebut biasanya melibatkan hartanah di negeri-negeri yang pesat membangun  seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor yang berada berhampiran dengan negara-negara jiran.

Penglibatan orang tengah pula biasanya berlaku jika seseorang membeli rumah secara ejen. Meskipun begitu, pembelian daripada pemilik pertama turut mempengaruhi harga rumah. Ada antara rumah tersebut dibeli dengan harga rendah oleh pemilik pertama, tapi dijual dengan harga lebih tinggi kepada pemilik kedua.

Kes-kes ini biasanya berlaku apabila pemilik pertama cuba mencari keuntungan lebih dengan urusan jualbeli rumah. Yang menjadi mangsa ialah pembeli-pembeli yang benar-benar serius untuk memiliki rumah. Justeru, beberapa cadangan dikemukakan agar pembeli rumah pertama dilindungi.
"Lindungi pembeli rumah pertama. Hadkan pembelian beli rumah kedua dengan membenarkan hanya 50% daripada pembiayaan bank. Ini adalah untuk membendung spekulasi harga rumah.”ujar Abdul Rahman Adam dari Subang Jaya.

Ada juga yang menyatakan bahawa harga rumah sebenar adalah rendah, namun manipulasi pihak tertentu menyebabkan harganya semakin meningkat. Justeru, mereka mencadangkan prosedur pengawalan jual beli rumah terutamanya kepada pelabur yang mahu mengambil keuntungan berlebihan.

"Harga hartanah, kos untuk membina rumah sebenarnya sangat murah. Dan kenaikan harga rumah kerana pelabur terus menjual dan membeli. Mencadangkan prosedur untuk mengawal jualan rumah kepada pelabur dan masa pembelian rumah pertama yang sebenarnya." kata Mohd Hafiz Zainuddin, pekerja swasta.

Keprihatinan PM dalam memperkenalkan skim rumah pertama buat rakyat Malaysia yang belum memiliki rumah dilihat menjadi perintis pertama dalam pemilikan rumah buat setiap rakyat malaysia. Meskipun begitu, ia masih sukar dicapai sekiranya keadaan hartanah dan rumah yang terlalu mahal terus berlarutan.

Justeru, cadangan yang dikemukakan oleh rakyat diharap mendapat tindakbalas positif. Sekurang-kurangnya, sesuatu boleh dilakukan bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan dan berpendapatan sederhana.






Comments