Bagaimana memikat pengundi muda “atas pagar”


KUALA LUMPUR- Trend pengundi muda dikatakan bakal menentukan kemenangan sesuatu parti kerana mereka biasanya lebih suka bertindak sebagai pemerhati, sebelum membuat keputusan.

Menurut Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, pengundi muda memainkan peranan penting bagi menentukan kemenangan parti kerana kebanyakan mereka hanya akan membuat keputusan saat-saat akhir, yang boleh menimbulkan satu kejutan.

“Kita banyak kalah pada 2008 sebab pengundi muda. Itu satu kejutan yang kita paling tak sangka. Bagaimanapun, kita yakin pengundi muda sudah mula kembali kepada kita.”katanya.

Menurut beliau lagi, statistik terkini menunjukkan bahawa terdapat antara 60 hingga 65 peratus pengundi memilih Barisan Nasional berbanding Pakatan Rakyat kerana sikap parti pembangkang tersebut yang hanya pandai berjanji, tetapi tidak menepatinya.

“Kalau BN, kita boleh nampak kerja-kerja yang dibuat, terutamanya dari PM sendiri. Datuk Seri Najib banyak membantu dari segi menaiktarafkan masyarakat India. Malah beliau turut memperuntukkan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri khas untuk menyelesaikan isu masyarakat India. Kerjasama beliau dengan Datuk Seri Palanieval banyak membantu masyarakat India.”

Sebagai kaedah untuk menarik kembali hati pengundi muda, MIC dan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai program, antaranya, Konsert BN Youth Music dan penggunaan media baru bagi mendekati masyarakat terutamanya kaum muda secara lebih dekat.

“Konsert ini merupakan pendekatan BN bagi menyampaikan mesej dan memberitahu masyarakat tentang kerja-kerja dan sumbangan yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri dan Barisan Nasional. Saya gembira kerana tindakbalas yang didapati sangat baik. Rata-rata mereka yang datang bukan sekadar untuk berhibur, justeru mereka benar-benar menyokong BN.”

“Kita turut menggunakan twitter, blog, facebook dan sebagainya untuk berhubung dengan masyarakat. Jika ada sebarang aduan, kita akan cuba kaji dan turun padang. Contohnya semalam, kita terima satu mesej tentang satu masalah, jadi kita terus siasat dan turun padang demi membantu mereka.”

Penguasaan orang lama dalam MIC dilihat sebagai satu cabaran besar bagi menarik pengundi baru memandangkan pendirian orang lama dan orang baru biasanya berbeza, Bagaimanapun, kehadiran presiden MIC yang baru dianggap satu peluang terbuka kepada orang muda dalam parti, sekaligus menarik pengundi muda.

“Dengan adanya kepimpinan baru MIC, kami yakin ia boleh menarik pemimpin dan pengundi muda. Datuk Seri Palanieval banyak bagi peluang dan kebebasan kepada pemuda MIC kerana beliau yakin akan kebolehan anak-anak muda. Dengan cara yang beliau bawa, peluang terbuka luas dan banyak pemuda yang boleh turut serta lagi.”
Ditanya tentang apa sebenarnya yang dimahukan oleh pengundi muda, beliau menjawab,

“Mereka mahukan setiap masalah diambil tindakan segera. Mereka tak suka janji kosong, tapi lebih melihat kepada hasil daripada apa yang dijanjikan.”jelas beliau.

Ujar beliau, selain berkaliber dan bersih daripada sebarang kontroversi, seseorang “winnable candidate” juga haruslah bijak mendekati dan mengambil hati masyarakat, serta menghormati dan memahami kehendak rakyat. 

“Saya berharap agar kaum muda akan terus menyokong kepimpinan BN dan MIC. Masih banyak pembangunan yang mahu kami sumbangkan kepada masyarakat terutamanya kaum india di Malaysia.”ujarnya.





Comments