Anak sulung sanggup halau ibu, dakwa rumah mendiang bapa miliknya

KERIAN - Seorang balu tidak menyangka kepercayaan terhadap anak sulungnya untuk menguruskan soal kewangan keluarga akhirnya memakan diri apabila sejumlah lebihan wang lelongan rumah berjumlah RM78,979 dipercayai dilarikan tanpa sebarang penjelasan.

Balu malang berkenaan, P Lachmiya, 64, berkata, pada 17 November tahun lalu, rumah milik mendiang suaminya di Taman Mewah, Bagan Serai dilelong oleh sebuah bank tempatan dengan harga RM120,000 apabila pihaknya tidak mampu membayar bayaran ansuran bulanan rumah tahun menetap di situ.

Menurutnya, ketika dilelong, pihaknya menanggung tunggakan ansuran bulanan sejumlah RM41,021 dan setelah urusan lelongan selesai dijalankan, wang baki lelongan berjumlah RM78,979 dipulangkan semula kepada mereka oleh bank.

“Setelah kematian mendiang suami, kami sekeluarga bersetuju menyerahkan kuasa menguruskan harta keluarga kepada anak sulung saya dan saya sendiri.

“Apabila baki wang lelongan rumah hendak dipulangkan, pihak bank mengarahkan kami membuka akaun simpanan untuk memudahkan urusan pemindahan wang.

“Oleh itu, anak sulung saya mencadangkan akaun simpanan dibuka atas namanya dan berjanji akan menyerahkan separuh daripada wang itu kepada saya untuk kegunaan keluarga,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini.

Lachmiya berkata, setelah wang dipindahkan ke dalam akaun, dia masih tidak mendapat sebarang maklum balas mengenai status wang itu, malah turut tidak menerima satu sen pun daripada anaknya.

Bagaimanapun, penipuan anak sulungnya terbongkar apabila anak ketiga, N Pragash membuat semakan mengenai akaun simpanan abangnya di bank dan mendapati wang itu dikeluarkan sedikit demi sedikit dengan menggunakan kad mesin pengeluaran wang (ATM).

“Semakan terkini menunjukkan baki wang di dalam akaun hanya tinggal sebanyak RM500 sahaja dan apabila kami sekeluarga pergi ke rumah anak sulung saya, kami dihalau malahan saya hampir dipukulnya dengan kasut setelah dia mendakwa rumah itu miliknya.

“Saya kesal dengan sikap anak sulung saya yang tidak berhati perut dan mementingkan diri walaupun dia menyedari kami sekeluarga hidup susah dan terpaksa menyewa rumah sempit kerana tidak berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, anak ketiga Lechmiya, Pragash memberi tempoh selama dua minggu kepada abang sulungnya untuk mengembalikan wang milik emaknya sekiranya tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Jika dia masih berdegil, tindakan mahkamah akan difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh melalui peguam kami,” katanya.


-sinar harian-


PS: Dunia sekarang, sebab duit lupa mak bapak..anak derhaka betul!!

Comments