Ambiga: Pejuang atau ahli politik?

Kebanyakan badan bukan kerajaan(NGO) di Malaysia menyifatkan bahawa penglibatan mereka dalam politik adalah tidak perlu kerana mereka hanya menginginkan satu sistem yang adil, tetapi tidak berniat untuk mencampuri urusan pentadbiran negara. Namun, ada sesetengah pihak yang mengandaikan pembabitan NGO dalam politik adalah satu strategi bijak menakluk hati rakyat memandangkan ada NGO yang lebih rapat dengan rakyat berbanding ahli politik.

Antara pemimpin NGO yang menjadi sebutan sebagai calon yang akan bertanding untuk PRU-13 ialah Datuk Ambiga. Beliau ialah salah seorang pemimpin NGO yang terkemuka di Malaysia. Nama beliau mulai naik apabila beliau mengetuai perhimpunan Bersih yang didalangi pembangkang. Ada ura-ura mengatakan Datuk Ambiga telah ditawarkan untuk bertanding di atas paksi Pakatan dan ia telah disahkan oleh salah seorang pemimpin PKR. Ambiga  bagaimanapun belum memberikan kata putus tentang isu tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam, Ambiga adalah ikon wanita India yang berani dan disanjung oleh kaum india di Malaysia. Beliau bagaimanapun kurang bersetuju jika Ambiga terlibat dalam politik.

“Lebih baik jika beliau menjauhkan diri daripada bidang politik. Biarlah dia jaga Bersih, dan membuat kerja-kerja yang berkait dengan Bersih sahaja. Dengan itu, dia dapat menjaga kredibiliti beliau sebagai pejuang hak-hak rakyat seperti yang diperjuangkan dalam Bersih,”ujar beliau.

Beliau bagaimanapun tidak menolak jika Ambiga mahu turut sama berjuang dalam bidang politik.

“Itu terpulang kepada individu tersebut dan pihak atasan, sama ada beliau mahu bertanding atau tidak. Saya cuma memberikan pendapat.”katanya lagi

Ini bukan kali pertama Pakatan membuat keputusan menggunakan NGO sebagai calon, kerana mereka telah meletakkan Elizabeth Wong sebagai calon pada PRU-12 dan berjaya memenangi kerusi dun Kuala Lanjan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Nordin turun memberikan pendapat bahawa lebih baik jika Ambiga tidak bertanding, namun tidak menolak jika beliau memutuskan untuk bertanding.

”Pandangan saya kalau dia tak jadi calon lagi baik. Jadi dia tidak mempunyai sebarang hubungkait dengan cita-cita politik atau peribadi, tapi lebih kepada suara rakyat. Lagipun, jika beliau membuat keputusan untuk bertanding, ada pihak yang akan memutarbelitkan kenyataan tersebut. Lebih baik beliau mengekalkan posisi beliau sebagai pihak yang tidak berpihak kepada mana-mana parti, namun kekal sebagai pejuang rakyat.”ujar beliau kepada The Malaysian Times.

Pengerusi SPR sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penyertaan pemimpin NGO sebagai calon adalah dialu-alukan dalam pilihanraya, namun ia haruslah berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan.

Bagi bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo pula, penglibatan Ambiga dalam politik adalah wajar memandangkan beliau lebih memihak kepada permainan politik Pakatan berbanding menjadi suara rakyat.

“Eloklah jika dia masuk politik dan jadi calon, memandangkan dia dah bersekongkol dengan Anwar Ibrahim daripada menggunakan nama NGO kononnya untuk keadilan. Lagipun saya dah menjangka bahawa beliau akan terlibat juga lambat-laun. Selain beliau, saya turut menjangka bahawa presiden peguam negara akan turut bertanding.”katanya.

Ditanya tentang tindakan Ambiga yang tidak mahu memberikan sebagai komen tentang isu tersebut, beliau berkata,

“Biasa untuk beliau main tarik tali dan tidak memberi komen tentang isu tersebut. Lagipun jika beliau mengumumkan akan bertanding, ia ibarat menjilat ludah sendiri kerana sebelum ini beliau pernah mengatakan tidak akan terlibat dalam politik. Namun bila PRU makin hampir, beliau akan mengumumkan untuk bertanding atas alasan permintaan rakyat,”ujar beliau.

Penglibatan Ambiga dalam politik masih menjadi tanda tanya memandangkan beliau enggan memberi sebarang komen tentang isu berkenaan. Beliau bagaimanapun ada terlibat dalam beberapa ceramah yang dianjurkan oleh pihak pembangkang namun menafikannya sebagai ceramah politik. Keputusan kini terletak di tangan Datuk Ambiga, sama ada beliau akan bertanding sebagi calon, atau kekal sebagai pejuang hak rakyat.

Comments