Abdul Khalid dicabar umum unjuran pelajar, pendapatan Unisel


SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar mengumumkan unjuran pelajar dan pendapatan Universiti Selangor (Unisel) bagi membuktikan kewangan universiti itu tidak 'nazak'.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd Zohdi berkata, tindakan tersebut penting bagi mengekalkan reputasi, kredibiliti dan tahap kebolehpercayaan masyarakat terhadap Unisel.

"Ini soal pendidikan anak negeri dan kredibiliti Unisel sebagai universiti berprestij yang menjadi kebanggaan rakyat Selangor. Rakyat sudah tentu tertanya-tanya bagaimana universiti ini mahu beroperasi jika kewangannya tenat," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mengekalkan Selangor sebagai sebuah negeri maju, apakah Kerajaan Negeri mempunyai sasaran dalam menghasilkan tenaga kerja mahir melalui Unisel.

"Contohnya, apakah Kerajaan Negeri menetapkan jumlah tertentu dalam melahirkan jurutera atau masih mengharap kepada tenaga mahir yang dilahirkan oleh universiti tempatan yang lain," katanya.

Merujuk kepada masalah Unisel itu katanya, beliau juga yakin pemberian pendidikan percuma yang diuar-uarkan mereka dalam setiap siri ceramah tidak akan mampu dilakukan kerana Kerajaan Negeri hanya memberi janji palsu.

“Bagaimana hendak memberikan pendidikan percuma, Unisel yang masih menerima bayaran sekalipun tidak mampu untuk ditadbir dengan baik, cita-cita memberikan pendidikan percuma hanya cakap kosong,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Selangor, Mohd Faizal Salleh mempertikai pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin dan Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din sebagai ahli lembaga pengarah.

Beliau berkata, atas dasar apakah kedua individu tersebut layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah melainkan untuk mengukuhkan kedudukan politik Kerajaan Negeri di universiti berkenaan.

“Pelantikan Faekah dan Rashid berdasarkan kelayakan akademik atau memperkukuhkan kuasa Pakatan Rakyat (PR) dalam Unisel? Jika ini berlaku, tidak mustahil Unisel akan menjadi universiti gajah putih," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya melantik individu profesional memegang jawatan tersebut kerana ahli politik mempunyai agenda masing-masing.-sinar harian-

Comments