3 MP PKR dakwa pernah ditawar RM20 juta


SHAH ALAM - Tiga Ahli Parlimen PKR hari ini mendedahkan mereka pernah ditawarkan RM20 juta sekiranya melompat parti menjadi wakil rakyat bebas sekitar 2009.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Bourne, Amran Ab Ghani (Tanah Merah) dan Ab Aziz Ab Kadi (Ketereh).

Amran mendakwa ada cubaan ‘orang-orang’ tertentu memujuk supaya ahli parlimen PKR untuk melompat parti secara pakej.

Katanya, tawaran tersebut hanya akan tercapai sekiranya lapan ahli parlimen PKR berjaya dipujuk untuk keluar parti dan setiap seorang akan menerima ganjaran sebanyak RM20 juta seorang.

Menurutnya, tawaran tersebut ketika itu agak menarik kerana beliau tidak perlu untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sebaliknya sebagai konsensus bebas.

Beliau mendakwa tawaran tersebut berlaku ketika Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilantik sebagai Perdana Menteri dan difahamkan Kerajaan Negeri Perak akan diambil alih kembali oleh BN.
“Benda ini (pakej) hanya akan terjadi sekiranya kelapan-lapan Ahli Parlimen itu melompat parti dan barulah setiap seorang menerima RM20 juta.
“Saya difahamkan oleh mereka kononnya Perak dapat dirampas kembali dan dapat ambil balik dua pertiga,” katanya pada sidang media di lobi bangunan SUK di sini, hari ini.
Berbeza situasi dialami oleh  Ab Aziz pula, beliau mendakwa pernah dihubungi oleh individu dikenali sebagai Zamil Ibrahim yang berasal dari Kedah.
Menurutnya, beliau ditawarkan untuk melompat parti menyertai konsensus bebas tetapi tidak menganggap perkara tersebut serius dan menekankan tidak berminat.

“Saya tak simpan nombor telefon dia tapi dia ada hubungi saya dua tiga kali tawar sebanyak RM5 juta untuk lompat parti.

“Saya juga dijemput untuk ke hotel di Petaling Jaya tapi saya tak pergi,” katanya.
Gwo Bourne pula berkata, beliau mendakwa bersama dengan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail ketika itu pernah ditawarkan sebanyak RM5 juta untuk melompat parti.

Katanya, beliau mengesahkan pernah menghadiri beberapa kali pertemuan diaturkan itu tetapi tidak berminat untuk melompat parti kerana sebagai Ahli Parlimen yang telah diamanahkan, orientasinya adalah berkhidmat untuk rakyat.

“Kami menerima tawaran lebih daripada sekali untuk melompat parti tetapi salah satunya adalah bersama-sama dengan Azan.

“Ia merupakan proses yang panjang dan saya menghadiri beberapa kali pertemuan dan ada kontrak yang perlu ditandatangani,” katanya.

Sebelum ini Azan pernah mendedahkan dakwaan beliau ditawarkan sebanyak RM5 juta untuk melompat parti pada 2010.-sinarharian-

Comments