KUALA LUMPUR 1 Jun - Seperti yang diramal banyak pihak, pelawak terkenal, Zizan Razak dipilih sebagai juara sulung program permainan realiti komedi, Super Spontan pada malam kemuncak berlangsung di Hulu Kelang, di sini malam ini.
Dengan gelaran itu, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abd.
Razak, 28, menewaskan lima finalis lain dan membawa pulang sebuah
kereta Toyota Camry berserta wang tunai sebanyak RM100,000.
Naib juara dimenangi oleh Johan atau nama sebenarnya, Mohamad
Yazid Lim Mohamad Aziz, 27, yang membawa pulang wang tunai RM50,000.
Manakala tempat ketiga pula menjadi milik Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 36, yang menerima wang tunai sebanyak RM25,000
Hadiah telah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Pada pertandingan akhir tersebut, Zizan berdepan dengan saingan
yang cukup sengit terutama daripada teman baiknya, Johan dalam program
yang menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sepenuhnya itu.
“Terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh
semua pihak kepada saya. Sesungguhnya, menyertai Super Spontan
bukanlah sesuatu yang mudah dan ia benar-benar mencabar minda.
“Secara tidak langsung, rancangan ini juga menguji keberkesanan
lawak secara spontan setiap daripada mereka yang bertanding dalam
menjadi seorang pelawak profesional," kata Zizan selepas program
berakhir.
Tiga finalis lain yang layak ke pertandingan akhir itu termasuklah
Rahim, Suhaimi dan Ropie yang turut menghiburkan hadirin dengan gelagat
dan aksi bersahaja mereka.
Program permainan komedi yang seumpamanya diterbitkan oleh Astro
itu menyaksikan kesemua finalis perlu melibatkan diri dalam lima
permainan yang disediakan.
Super Spontan yang turut disiarkan menerusi Astro Warna itu
merupakan sebuah rancangan yang formatnya diambil daripada rancangan
Spontan sebelum ini.
Bezanya Super Spontan menampilkan dua kumpulan yang terdiri
daripada pelawak dan selebriti dan bersaing bagi merebut gelaran juara
setiap minggu yang ditentukan melalui undian SMS penonton.
Pasukan yang tewas setiap minggu akan memasuki pusingan
penyingkiran di mana salah seorang peserta dalam kumpulan yang tewas
akan disingkirkan berdasarkan undian daripada setiap ahli kumpulan.
- UTUSAN
Comments
Post a Comment