Perkembangan terbaru bahawa PTPTN bertindak menyekat pinjaman pelajar Unisel adalah membimbangkan.
Saya juga terkejut dengan satu tweet oleh Dato’ Seri Khaled Nordin,
Menteri Pendidikan Tinggi berhubung perkara ini, yang dibuat semalam
seperti berikut:
“Unisel boleh hapuskan yuran, dgn sendirinya memenuhi
matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yg dilaungkan Anuar dan
Pakatan”
Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan
mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar: apakah
beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada
pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam
Umno/Barisan Nasional?
Polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah
perkembangan yang sihat dan wajar diraikan. KEADILAN mengambil pendirian
bahawa model pendidikan tinggi sedia ada yang mendahulukan pendidikan
swasta dengan menghadkan pelaburan di dalam institusi pendidikan awam
akan menjerumuskan negara ke kancah hutang seperti yang telah berlaku di
negara-negara lain.
Pada masa yang sama, KEADILAN juga yakin bahawa Malaysia mampu
menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan
kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat.
Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut
Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang
perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan
secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat.
Seharusnya Dato’ Seri Khaled Nordin, sebagai Menteri Pendidikan
Tinggi menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model
pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti yang diamalkan
sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dengan berdendam dan
menghukum pelajar.
Saya juga harus memuji rakan saya Saudara Khairy Jamaluddin yang
jelas lebih professional dan berilmu dalam hal ini, sewajarnya beliaulah
yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi oleh Umno/Barisan
Nasional bagi menggantikan Dato’ Seri Khaled Nordin.
Saya mencabar Dato’ Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada
rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel
ini adalah arahan beliau sendiri?
Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar
meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi
sesuai dengan arus politik mutakhir.
Jika beliau tidak terlibat, beliau harus bertanggungjawab campur
tangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan yang zalim ini tidak akan
berlaku lagi di masa akan datang.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
PENGARAH STRATEGI
6 JUN 2012
-sumber: blog rafiziramli-
Comments
Post a Comment