Rafizi “all out”, Azmin longlai


Beberapa pemimpin pakatan dilihat begitu menyerlah sejak kebelakangan ini dengan pelbagai pendedahan berani mati yang mungkin menjerat mereka jika tersalah langkah, manakala sebilangan yang lain bersembunyi disebalik agenda yang dirancang sebagai langkah selamat. Suasana yang dilihat seolah-olah menggambarkan siapa yang bakal terpilih dan siapa yang bakal tersingkir dalam pencalonan Piliharaya Umum ke 13.  Bagaimanapun, mereka yang mungkin terpilih perlu bijak dalam melaksanakan perancangan mereka, kerana jika tidak mereka pula yang mungkin terjerat.


Rafizi Ramli dilihat antara yang paling berani bersuara, selaku kedudukan beliau sebagai pengarah strategi PKR, yang sememangnya perlu banyak mencari idea-idea baru untuk menjatuhkan pihak lawan. Setiap tuduhan yang dilemparkan oleh beliau dilihat begitu berat dan berkesan, sehingga menyebabkan pihak Barisan Nasional  teragak-agak untuk menjawab setiap tuduhan yang diberikan. Beliau juga dijangka menjadi “winnable candidate” pakatan kerana pengaruhnya dapat dilihat dengan jelas dikalangan anak muda.

Anehnya, kelibat Azmin Ali sebagai Naib Presiden Pakatan seolah-olah tenggelam selepas video skandal seks yang dikaitkan dengannya tersebar ke internet. Beliau juga sukar ditemui oleh media, dan enggan menjawab sebarang soalan yang dikemukakan, kecuali jika ditanya akhbar pembangkang. Beliau juga dilihat kurang menyerlah dalam penglibatan yang melibatkan media, tetapi diam-diam terlibat disebalik tabir ketika turun padang.

Ketika Rafizi berusaha keras mengorek kertas-kertas data yang melibatkan kerajaan barisan nasional, Azmin lebih suka bekerja secara diam-diam, tanpa sebarang pendedahan ekslusif. Sukar dipastikan sama ada beliau sememangnya “low profile” atau beliau sedang mengelak daripada diasak tentang skandal yang melibatkan diri dan ahli keluarganya, kerana sebelum isu tersebut keluar, beliau antara yang paling menyerlah. Mungkin juga ada arahan daripada pemimpin pembangkang supaya beliau berdiam diri bagi menanti isu tersebut reda.

Sebagai seorang akauntan, Rafizi sememangnya pakar dalam isu kewangan memandangkan dia sememangnya berpengalaman tentang isu duit. Persoalannya ialah bagaimana dia memperolehi sumber-sumber maklumat yang didakwa berkaitan dengan isu berbangkit, dan sama ada setiap bukti dan sumber tersebut sah dan boleh dipercayai. Juga dipertikaikan jika beliau memperolehi setiap dokumen maklumat secara tidak sah. Beliau juga dilihat begitu berhati-hati dalam mengeluarkan pernyataan secara sedikit-sedikit, dan bukannya secara sekaligus.

Ini langkah selamat yang boleh mengelakkan beliau daripada disaman atau ditahan polis. Beliau bakal calon, dan langkah selamat tersebut boleh menjamin beliau untuk terus berada dipaksinya, tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Langkah bijak itu juga mengelakkan beliau dari terus diserang daripada man-mana pemimpin barisan nasional. Nampaknya keputusan yang dibuat beliau untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri adalah selamat. Selain dapat menumpukan sepenuhnya keputusan kepada kerja-kerja parti, beliau juga terselamat daripada kontroversi dana geran RM300 juta. 

Bagi Azmin pula, beliau mungkin tidak mahu mengungkit lagi kisah kontroversi yang menjeratnya sebelum ini, namun peluang beliau dilihat agak tertutup dalam pilihanraya kali ini. Beliau kini dihambat dengan seribu satu pertanyaan, dan jika tersilap langkah, boleh tersungkur dan terlungkup ketanah. Hanya mereka yang benar-benar mengenalinya boleh merungkai segala misteri.

Comments