Radio Rebel: Buat remaja

DJ radio pendiam     

DI sekolah, dia seorang yang sangat susah untuk berkomunikasi malah dalam kelas juga kelibatnya bagaikan tidak dipandang akibat terlalu pendiam. Bagaimanapun, Tara Adams mencari jalan penyelesaian kepada kekurangannya itu dengan mengekspresikan minat mendalamnya terhadap muzik menerusi siaran podcast, iaitu radio online setiap kali menjelang malam.

Ironinya, biarpun dia akan sentiasa bercakap pada siaran yang dipanggil Radio Rebel itu, di sekolah, dia tidak mampu untuk bercakap sepatah pun. Apatah lagi dengan kehadiran seorang pelajar popular yang dikenali sebagai penyanyi rock di situ iaitu Gavin. Selepas guru dramanya memasangkan mereka untuk tugasan kelas bersama seorang lagi pelajar kesukaan ramai, Stacy, ia menjadi bala buat Tara.

Di sebalik itu, Radio Rebel yang dihoskannya semakin ramai pengikut dan menjadi bualan di stesen-stesen radio tempatan. Bagi mereka, siaran itu mencetuskan kebebasan kepada mereka untuk menjadi diri sendiri dan meraikan perbezaan yang ada dalam diri mereka.

Ini termasuklah Gavin yang menyatakan kagum dengan siaran terbabit kerana muzik yang diputarkan menepati cita rasanya. Meskipun begitu, apabila dia mengatakan perkara itu, Tara masih mendiamkan diri. Sejak itu, dua dunia berbeza Tara itu menjerat dirinya di persimpangan yang tidak terduga.

Disebabkan sambutan hangat, Radio Rebel dicalonkan pula pada acara prom sekolah berkenaan sehingga acara itu dibatalkan oleh pengetua. Pembatalan itu mengundang amarah peminat siaran itu, meninggalkan Tara dalam dilema dan perancangan alternatif perlu dibuat.

Begitulah kisah filem di Disney Channel, Radio Rebel, dibintangi Debby Ryan yang akan ditayangkan di saluran Astro 615, jam 7.30 malam, Ahad ini. Disuntik dengan elemen drama yang tidak keterlaluan, ia pastinya menghiburkan penonton terutamanya golongan muda-mudi dan juga kanak-kanak.

Mengulas mengenai filem ini, Debby yang lebih popular menerusi siri Jessie, juga di saluran Disney berkata, berlakon dalam filem lebih banyak menggunakan tenaga kerana penggambarannya berterusan.

-metro-

Comments