Menari ghairah demi RM300



KUALA LUMPUR 24 Jun - "Kami dibayar RM300 setiap seorang untuk menari ghairah selama 10 minit.''

Itulah pengakuan salah seorang daripada empat gadis Melayu yang ditahan dalam operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Jalan Doraisamy, di sini malam tadi.

Menurut ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Baby, 22, mereka diupah menari secara eksklusif oleh sekumpulan pelanggan di kelab berkenaan.

Dakwa Baby, mereka sudah biasa mengadakan persembahan begitu, tetapi terkejut kerana harus berpakaian seksi.

"Saya memang bekerja sebagai penari di sebuah studio tarian di Damansara dan membuat persembahan dalam majlis-majlis peribadi.

"Dalam acara seperti ini, kami akan menari selama 10 minit dan akan dibayar sebanyak RM300 setiap seorang, tetapi kami tidak akan membenarkan pelanggan menyentuh atau melakukan perkara tidak senonoh," katanya kepada pemberita.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 22 tahun itu bagaimanapun tidak sempat membuat persembahan apabila serbuan dilakukan oleh Jawi.

Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta polis itu ialah enam lelaki beragama Islam berusia antara 25 hingga 40 tahun atas kesalahan meminum arak.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jawi, Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, jabatan itu menerima pelbagai aduan daripada orang ramai bahawa terdapat ramai orang Islam menjalankan aktiviti tidak senonoh di kawasan tersebut.

"Aduan itu termasuklah wanita Islam menjadi gadis pelayan pelanggan dan minum arak di khalayak ramai.

"Bertindak daripada maklumat itu, kita menyerbu beberapa buah kelab di sini dan menahan 10 orang Islam atas kesalahan berpakaian tidak senonoh serta minum arak," katanya.

Jelas beliau, kesemua mereka akan dipanggil ke pejabat Jawi untuk menghadiri sesi kaunseling Selasa ini dan jika tidak hadir, waran tangkap oleh mahkamah akan dikeluarkan.-utusan-

Comments